Adakah rawatan penyakit gusi membantu pesakit diabetes mengawal paras gula dalam darah?

Soalan ulasan

Soalan utama yang diaju dalam ulasan ini: Berapa berkesan rawatan penyakit gusi (periodontitis) untuk mengawal paras gula dalam darah (kawalan glisemik) dalam kalangan orang dengan diabetes berbanding tiada rawatan aktif atau rawatan biasa?

Latar belakang

Matlamat merawat periodontitis adalah untuk mengurangkan bengkak dan jangkitan dan menstabilkan keadaan gusi dan tulang penyokong. Paras gula dalam darah terlalu tinggi dalam kalangan pesakit diabetes, oleh itu mengekalkan paras gula dalam darah terkawal adalah isu utama. Sesetengah penyelidikan klinikal mencadangkan wujudnya hubungan antara rawatan penyakit gusi dan kawalan glisemik.

Kawalan glisemik boleh diukur dengan pelbagai cara. Untuk ulasan ini, kami memfokus kepada HbA1c, yang menunjukkan purata paras glukosa darah sepanjang 3 bulan sebelumnya. Ia boleh dilaporkan sebagai peratusan (daripada jumlah haemoglobin) atau sebagai mmol/mol (milimol per mol). Kawalan glisemik yang sangat baik bagi orang diabetik mungkin sekitar 6.5% atau 48 mmol/mol.

Ulasan ini dijalankan oleh pengarang yang bekerja dengan Kesihatan Mulut Cochrane dan adalah sebahagian daripada kemas kini ulasan yang terdahulu diterbitkan pada 2010 dan 2015. Ulasan ini menilai rawatan penyakit gusi berbanding tiada rawatan aktif atau penjagaan biasa. Bahagian kedua ulasan akan membandingkan pelbagai jenis rawatan periodontal. Kami membuat ulasan ini kerana adalah penting untuk menyiasat jika rawatan penyakit gusi dapat memperbaik kawalan glisemik bagi memanfaatkan penggunaan sumber klinikal.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari enam pangkalan data penyelidikan dan menemui 35 kajian relevan yang mana orang dengan diabetes dan periodontitis diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Kumpulan eksperimen menerima rawatan penyakit gusi yang dipanggil 'instrumentasi subgingiva', juga dikenali sebagai penskaleran dan pengetaman akar atau pembersihan dalam. Dalam kumpulan eksperimen, pembersihan dalam ditambah dengan arahan membersih gigi yang betul (arahan higin oral) atau rawatan gusi lain (misalnya ubat antimikrob yang diguna untuk merawat jangkitan). Kumpulan kawalan tidak menerima rawatan aktif atau 'penjagaan biasa', iaitu arahan higin oral, sokongan dengan hihin oral dan/atau penyingkiran plak di atas garis gusi.

Kajian-kajian merawak sejumlah 3249 peserta. Hampir semua peserta menghidap diabetes jenis 2, dengan kombinasi kawalan diabetes yang baik, sederhana dan teruk. Kebanyakan kajian dijalankan di hospital. Kajian-kajian menyusul peserta selama 3 hingga 12 bulan.

Keputusan utama

Bukti daripada 30 kajian (hasil daripada 2443 peserta) menunjukkan rawatan periodontitis mengurangkan paras gula dalam darah (diukur dengan HbA1c) dalam kalangan pesakit diabetes secara purata sebanyak 0.43 mata peratusan (cth dari 7.43% hingga 7%; 4.7 mmol/mol) 3 hingga 4 bulan selepas menerima rawatan berbanding tanpa rawatan aktif atau penjagaan biasa. Perbezaan 0.30% (3.3 mmol/mol) dilihat selepas 6 bulan (12 kajian), dan 0.50% (5.4 mmol/mol) pada 12 bulan (satu kajian).

Tiada cukup kajian yang mengukur kesan sampingan yang dapat menilai risiko mudarat rawatan penyakit gusi. 

Kepastian bukti

Kebanyakan kajian telah dijalankan dengan cara yang berisiko bias tinggi atau tidak memberi maklumat yang cukup untuk kami membuat pertimbangan tentang perkara ini. Walau bagaimanapun, ketekalan penemuan kami menunjukkan ia boleh percaya dan penyelidikan masa depan tidak mungkin mengubahnya.

Ringkasnya, pada masa ini terdapat bukti kepastian sederhana menyokong rawatan penyakit gusi (dikenali sebagai instrumentasi subgingiva) untuk mengawal paras gula darah dalam kalangan orang dengan periodontitis (penyakit gusi) dan diabetes sehingga 12 bulan selepas permulaan rawatan periodontal.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 7 September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information