Adakah voriconazole lebih baik daripada amphotericin B atau fluconazole untuk mencegah dan merawat jangkitan kulat dalam pesakit kanser dengan sistem pertahanan imun yang lemah

Latar belakang

Pesakit-pesakit kanser yang dirawat dengan kemoterapi atau menerima pemindahan sumsum tulang mempunyai peningkatan risiko jangkitan kulat. Jangkitan ini boleh mengancam nyawa. Oleh itu ubat-ubatan antikulat sering diberikan untuk mencegah jangkitan kulat dalam pesakit-pesakit ini, sama ada apabila pesakit-pesakit ini diketahui mengalami jangkitan kulat atau apabila jangkitan ini disyaki. Kami mengulas bukti mengenai kesan voriconazole berbanding dengan amphotericin B atau fluconazole untuk mencegah atau merawat jangkitan kulat dalam pesakit-pesakit kanser dengan sistem imun yang lemah untuk memberi pertahanan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti tiga kajian. Carian terkini untuk kajian-kajian kami dilakukan pada Januari 2014.

Satu kajian membandingkan voriconazole dengan amphotericin B liposomal dalam 849 lelaki dan wanita (58 kematian) dengan kanser dan sistem imun yang lemah. Rawatan paling kerap diberikan selama tujuh hari. Rawatan itu diberikan kepada pesakit-pesakit yang mana jangkitan kulat adalah disyaki kerana mereka mengalami demam yang tidak dapat dijelaskan.

Kajian kedua membandingkan voriconazole dengan amphotericin B deoxycholate dalam 391 lelaki dan wanita (98 kematian) dengan kanser dan sistem imun yang lemah. Voriconazole diberikan selama 77 hari secara purata manakala amphotericin B deoxycholate liposomal diberikan selama 10 hari secara purata. Rawatan itu diberikan apabila pesakit-pesakit diketahui atau disyaki mempunyai jangkitan kulat tertentu (Aspergillus).

Kajian ketiga membandingkan voriconazole dengan fluconazole dalam 600 lelaki dan wanita (jumlah kematian tidak dinyatakan) dengan kanser yang telah menjalani pemindahan sumsum tulang mereka selepas kemoterapi dos tinggi yang menyekat sistem imun mereka. Rawatan itu diberikan untuk mencegah jangkitan kulat.

Semua kajian adalah ditaja oleh pengeluar ubat kajian, voriconazole.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati bahawa voriconazole adalah lebih rendah daripada amphotericin B liposomal untuk rawatan jangkitan kulat yang disyaki. Lebih banyak pesakit yang dirawat dengan voriconazole mati dan manfaat yang didakwa dari segi kurang jangkitan kulat yang baru telah hilang apabila kami menyertakan pesakit-pesakit yang telah dikeluarkan tanpa sebab yang baik dari analisis yang diberikan dalam artikel yang diterbitkan. Kami juga mendapati bahawa voriconazole belum dibandingkan dengan amphotericin B apabila diberikan dalam keadaan yang optimum untuk rawatan aspergillosis yang invasif, dan bahawa voriconazole adalah tidak lebih baik daripada fluconazole bagi pesakit yang menjalani pemindahan sumsum tulang untuk mencegah jangkitan kulat invasif atau untuk memanjangkan tempoh pesakit hidup tanpa jangkitan kulat.

Kualiti bukti

Kajian pertama dan kedua adalah sangat mengelirukan. Kajian pertama menganalisis keputusan kajian dengan cara yang berbeza dari yang dirancang asalnya, yang memihak ubat kajian voriconazole. Kajian kedua membandingkan voriconazole dengan ubat (amphotericin B liposomal) yang diberikan pada dos kurang dari piawai, yang bermakna keputusan kajian adalah tidak bermakna. Kajian ketiga seharusnya menunjukkan berapa banyak pesakit yang mati tetapi tidak melakukannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save