Vitamin B12 oral berbanding vitamin B12 intramuskular untuk kekurangan vitamin B12

Soalan ulasan

Adakah vitamin B12 oral mempunyai kesan yang sama seperti suntikan intramuskular vitamin B12 untuk orang yang mengalami kekurangan vitamin B12?

Latar belakang

Vitamin B12 (cobalamin) diperlukan untuk fungsi asas badan, seperti pertumbuhan dan perkembangan sel darah merah dan sistem saraf. Kekurangan vitamin B12 (kurangnya vitamin B12) adalah perkara yang sangat lazim. Banyak faktor menyumbang kepada kekurangan vitamin B12, seperti umur, penyakit darah, diet vegetarian, ketakcernaan, penggunaan ubat-ubatan, serta nutrisi yang buruk. Para doktor lebih cenderung untuk mengguna suntikan vitamin B12 ke dalam otot (suntikan intramuskular) kerana mereka mungkin tidak menyedari terdapat pilihan untuk menggunakan vitamin B 12 oral atau tidak pasti bagaimana ia berfungsi.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati tiga kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Kajian-kajian tersebut merawak 153 peserta (74 peserta untuk vitamin B12 oral dan 79 peserta untuk vitamin B12 intramuskular). Tempoh rawatan dan susulan adalah antara tiga hingga empat bulan. Purata umur peserta adalah antara 39 hingga 72 tahun.

Keputusan utama

Dua kajian menggunakan 1000 μg vitamin B12 oral setiap hari dan tidak menunjukkan perbezaan yang relevan dengan vitamin B12 yang diguna secara intramuskular terhadap paras darah vitamin B12. Satu kajian menggunakan 2000 μg vitamin B12 setiap hari dan menunjukkan paras darah vitamin B12 lebih tinggi yang memihak kepada vitamin B12 oral. Dua kajian melaporkan kesan sampingan. Satu kajian menyatakan bahawa tiada kesan sampingan yang berkaitan dengan rawatan dilihat dalam kumpulan vitamin B12 oral dan intramuskular. Satu kajian melaporkan 2 dari 30 peserta dalam kumpulan vitamin B12 oral meninggalkan kajian awal akibat kesan sampingan. Vitamin B12 secara oral menunjukkan kos rawatan yang lebih rendah daripada vitamin B12 intramuskular dalam satu kajian. Tiada kajian melaporkan tanda-tanda dan simptom klinikal kekurangan vitamin B12 (contohnya keletihan, kemurungan, komplikasi neurologi), kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, atau kebolehterimaan skema rawatan.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah atau sangat rendah, terutamanya disebabkan bilangan kecil kajian yang disertakan dan jumlah peserta yang rendah dalam kajian-kajian tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information