Curahan folikel semasa pengumpulan oosit dalam teknologi reproduktif berbantu

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Ulasan soalan

Para penulis Cochrane mencari untuk menilai keselamatan dan keberkesanan curahan (“flushing”) folikel sebagai sebahagian daripada pengumpulan telur pada wanita yang menjalani intervensi untuk membantu mereka hamil, dikenali sebagai teknologi reproduktif berbantu (ART).

Latar belakang

Pasangan yang mempunyai kesukaran untuk hamil secara semula jadi boleh memilih untuk menjalani intervensi untuk membantu mereka hamil Intervensi ini dikenali sebagai teknologi reproduktif berbantu (ART). Salah satu daripada intervensi ini adalah persenyawaan in vitro (IVF), atau satu variasi IVF, dipanggil suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI). Sewaktu IVF, rangsangan ovari terkawal menggunakan hormon-hormon untuk merangsangkan penghasilan beberapa telur di dalam ovari. Selepas rangsangan ovari, satu jarum yang dipandu oleh ultrabunyi digunakan untuk mengumpul telur-telur yang berada di dalam folikel. Daripada dengan menggunakan hanya sedutan untuk mendapatkan kandungan-kandungan folikel (aspirasi), adalah dicadangkan bahawa curahan folikel selepas aspirasi boleh mendorong kepada pengumpulan lebih banyak telur dan peluang yang lebih tinggi untuk hamil dan mendapat seorang bayi. Teknik ini dipanggil curahan folikular (“follicular flushing”)

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini melibatkan sepuluh kajian penyelidikan yang diatur secara rawak sejumlah 928 wanita untuk aspirasi folikular sahaja atau curahan folikular selepas aspirasi. Untuk mengetahui sekiranya ada perbezaan antara dua teknik tersebut, kami mahu melihat pada keputusan-keputusan utama kadar kelahiran hidup (bilangan bayi yang lahir setiap 1000 wanita) dan kadar keguguran (bilangan keguguran setiap 1000 wanita). Kami menjalankan carian komprehensif untuk mengenal pasti semua penyelidikan yang relevan dalam bidang ini pada Julai 2017.

Keputusan-keputusan utama

Tiga kajian telah melaporkan tentang keputusan-keputusan utama kadar kelahiran hidup dan mengenal pasti bahawa curahan folikular mungkin hanya sedikit ataupun tiada kesan terhadap kadar kelahiran hidup berbanding dengan aspirasi sahaja (bukti berkualiti sederhana). Ini mencadangkan bahawa jika kadar kelahiran hidup yang beranggaran 41% dilihat melalui aspirasi sahaja, kadar kelahiran hidup yang sama dengan curahan folikular mungkin berada antara 29% hingga 52%. Tiada satu daripada kajian yang terlibat melaporkan tentang kadar keguguran.

Kajian-kajian juga menemui bahawa curahan folikular mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah telur yang diperolehi, jumlah embrio, atau kadar kehamilan klinikal berbanding dengan aspirasi sahaja. Walaupun kualiti bukti adalah sangat rendah, kelihatan bahawa curahan folikular mengambil masa yang lebih lama untuk dilakukan daripada aspirasi sahaja. Bukti adalah tidak mencukupi untuk membenarkan sebarang kesimpulan kukuh berkaitan kesan-kesan buruk atau keselamatan.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui sama ada mana-mana kumpulan pesakit spesifik yang akan bermanfaat daripada curahan folikular.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk keputusan utama iaitu kadar kelahiran hidup adalah sederhana. Kualiti bukti untuk keputusan-keputusan lain berkadaran antara sangat rendah hingga sederhana. Batasan-batasan utama kajian terlibat adalah kekurangan pembutaan (proses yang mana wanita yang menyertai kajian dan kakitangan penyelidikan tidak mengetahui intervensi yang digunakan), tidak konsistenan (perbezaan antara kajian-kajian), dan ketidak tepatan (data tidak mencukupi).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.