Penggunaan baclofen intratekal untuk merawati keadaan spastik dalam kalangan kanak-kanak dengan palsi serebrum.

Keadaan spastik, iaitu peningkatan dalam tonus otot, ialah kesukaran pergerakan badan yang paling biasa ditemui dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum. Baclofen ialah ubat yang bertindak pada reseptor di dalam otak dan saraf tunjang untuk mengurangkan tonus otot yang tidak biasa. Ubat ini telah digunakan secara oral untuk bertahun-tahun. Kelemahan pemberian ubat secara oral adalah hanya sedikit ubat yang dapat menyeberangi penghalang darah-otak sebelum ubat ini dapat memberikan kesan, dan dos ubat adalah terhad kerana kesan sampingan yang tidak diingini iaitu sedasi berlebihan. Pemberian baclofen ke dalam cecair yang mengelilingi saraf tunjang dapat mengatasi masalah-masalah ini. Rawatan ini dipanggil terapi intratekal baclofen dan ubat diberikan melalui pam yang diletakkan di bawah kulit yang disambungkan dengan kateter yang menembusi membran yang meliputi saraf tunjang untuk menyampaikan baclofen secara langsung ke dalam cecair yang mengelilingi saraf tunjang dan otak.

Ulasan ini berkesimpulan bahawa terdapat sedikit bukti daripada kajian-kajian yang dilakukan sampai kini yang dapat menunjukkan keberkesanan rawatan baclofen intratekal dalam pengurangan keadaan spastik secara jangka masa pendek dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum. Kesan penggunaan baclofen intratekal dalam rawatan keadaan spastik jangka panjang dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum adalah kurang jelas.

Dua kajian jangka pendek (yang dijalankan oleh penyiasat yang sama) telah menunjukkan pengurangan dalam keadaan spastik, tetapi satu kajian jangka lebih panjang menunjukkan bukti yang minima dalam pengurangan keadaan spastik dengan penggunaan baclofen intratekal. Dua kajian jangka pendek yang lain menunjukkan pengurangan dalam keadaan spastik dengan penggunaan baclofen intratekal, tetapi penulis menggunakan kaedah yang tidak sesuai untuk menganalisis data, jadi kami tidak pasti sama ada keputusan kajian tersebut adalah sah. Semua kajian ini melibatkan sebilangan kecil peserta dan hal ini menjadikan keputusan tersebut kurang boleh dipercayai.

Penyelidikan juga memberikan bukti daripada satu kajian jangka pendek dan satu lagi kajian jangka panjang (sekali lagi, oleh penyiasat yang sama), bahawa terapi baclofen intratekal dapat meningkatkan keselesaan, kemudahan penjagaan dan beberapa aspek kualiti kehidupan dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum. Walau bagaimanapun, keputusan kajian jangka panjang mungkin telah dipengaruhi oleh faktor kedua-dua peserta dan penyiasat yang menyedari sama ada mereka telah diberikan rawatan atau dibahagikan kepada kumpulan kawalan. Kajian yang sama ini mendapati bahawa penggunaan baclofen intratekal dapat meningkatkan fungsi motor kasar secara sedikit dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum, namun sekali lagi, keputusan-keputusan kajian ini mungkin dipengaruhi oleh cara kajian tersebut dijalankan.

Bukti yang lanjut mengenai keberkesanan penggunaan baclofen intratekal dalam merawati keadaan spastik amat diperlukan daripada penyelidik-penyelidik lain untuk mengesahkan keputusan ini.

Terdapat sedikit bukti dari kajian terkawal rawak jangka pendek mengenai implikasi keselamatan dan ekonomi rawatan ini apabila terapi secara jangka panjang diberikan melalui alat yang diimplan. Atas sebab-sebab yang sama, kami tidak dapat membuat kesimpulan sama ada keperluan pembedahan ortopedik yang lanjut dalam kalangan kanak-kanak yang menerima terapi baclofen intratekal telah diubah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com

Tools
Information
Share/Save