Adakah intervensi dalam keluarga menghalang kanak-kanak dan remaja mula merokok

Soalan ulasan: Ulasan ini menanyakan sama ada intervensi keluarga boleh mempengaruhi kanak-kanak dan remaja untuk tidak merokok, berbanding dengan kawalan tanpa intervensi atau sebagai tambahan kepada intervensi sekolah. Kami menumpukan perhatian pada kanak-kanak yang tidak pernah merokok.

Latar belakang: Pencegahan kanak-kanak dari mula merokok adalah penting untuk mengelakkan ketagihan seumur hidup, kesihatan yang buruk, dan akibat sosial dan ekonomi . Ahli keluarga mempengaruhi sama ada kanak-kanak dan remaja merokok. Kami ingin tahu jika ada bukti yang cukup untuk menyokong pembiayaan intervensi dalam keluarga untuk menghalang kanak-kanak mula merokok.

Carian terakhir: April 2014.

Ciri-ciri kajian: Kami mengenal pasti 27 kajian; 23 di Amerika Syarikat dan setiap satu di Australia, India, Belanda, dan Norway. Tumpuan adalah berbeza di antara kajian. Lima belas kajian memberi tumpuan kepada pencegahan penggunaan bahan: enam tertumpu hanya pada pencegahan tembakau; satu berfokus pada alkohol; satu pada penyalahgunaan bahan am; tiga pada tembakau, alkohol dan ganja; dua pada alkohol dan tembakau; dan dua pada kesihatan tembakau dan kardiovaskular. Dua kajian memberi tumpuan kepada HIV dan pencegahan seks yang tidak selamat. Sepuluh kajian memberi tumpuan kepada fungsi keluarga, perkembangan kanak-kanak dan pengubahan tingkah laku remaja. Tempoh susulan selepas intervensi adalah sangat berbeza dari 6 bulan hingga lebih 15 tahun untuk kajian di mana intervensi adalah ke atas ibu-ibu dengan anak-anak yang sangat muda.

Keputusan utama: Sembilan kajian menyediakan data yang membandingkan intervensi tembakau keluarga tanpa intervensi pada tingkah laku merokok ke atas masa depan bagi mereka yang tidak merokok pada permulaan kajian. Kami tidak dapat memasukkan data dari lapan lagi kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa intervensi berdasarkan keluarga memberikan manfaat yang signifikan berbanding kawalan untuk mencegah percubaan dengan atau merokok secara teratur. Anggaran kami mencadangkan bahawa intervensi keluarga dapat mengurangkan bilangan remaja yang cuba merokok sama sekali antara 16% dan 32%.

Dua kajian menyediakan data untuk membandingkan gabungan intervensi keluarga dan sekolah dengan intervensi sekolah sahaja dan ini juga menunjukkan manfaat intervensi berasaskan keluarga. Anggaran mencadangkan penambahan intervensi keluarga mungkin dapat mengurangkan permulaan merokok antara 4 dan 25%. Kami tidak dapat memasukkan data daripada lima lagi kajian.

Tafsiran kami ialah ciri umum intervensi yang berkesan adalah menggalakkan keibubapaan yang autoritatif (biasanya ditakrifkan sebagai menunjukkan minat yang kuat dan menjaga anak remaja, selalunya dengan tetapan peraturan). Ini berbeza dengan ibu bapa yang autoritarian (berbuat seperti yang saya katakan) atau keibubapaan yang cuai atau ketidakpatuhan.

Kualiti bukti: Disebabkan kebanyakan kajian rawak terkawal yang termasuk dalam ulasan ini tidak melaporkan kaedahnya secara terperinci untuk menyakinkan bahawa hasilnya tidak berat sebelah, kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana, yang bermaksud bahawa anggaran kesan adalah tidak pasti.

Kesimpulan: Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa intervensi berasaskan keluarga boleh menghalang kanak-kanak dan remaja mula merokok. Program-program intensif mungkin lebih berjaya daripada program yang kurang intensif. Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa penambahan komponen berasaskan keluarga kepada intervensi sekolah mungkin berkesan. Disebabkan intervensi dan tetapan dalam ulasan berbeza jauh, adalah penting bahawa program berasaskan keluarga terus dinilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save