Adalah profilaksis antibiotik berkesan atau selamat bagi wanita yang menjalani kelahiran vaginal operatif?

Apakah isunya?

Kami ingin menilai sama ada memberi antibiotik untuk semua wanita yang menjalani kelahiran vaginal operatif (menggunakan sedutan vakum atau forsep) mencegah jangkitan pada ibu tanpa meningkatkan hasil buruk lain bagi ibu dan bayi.

Mengapa ini penting?
Wanita yang melahirkan dengan bantuan vakum atau forsep mungkin lebih cenderung untuk jangkitan selepas bersalin atau masuk semula ke hospital selepas bersalin berbanding wanita yang mengalami kelahiran vagina spontan normal. Sebab-sebab utama untuk kelahiran vagina operatif adalah peringkat kedua pelahiran yang panjang, disyaki bermasalah dengan bayi dan keinginan untuk memendekkan peringkat kedua pelahiran untuk kepentingan ibu.

Antibiotik profilaktik boleh diguna untuk mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan tersebut. Namun, masih terdapat beberapa keraguan tentang manfaat antibiotik profilaktik dalam mengurangkan jangkitan postpartum selepas kelahiran vagini operatif.

Apakah bukti yang kami dapat?

Kami mencari bukti pada Julai 2017 dan mengenal pasti hanya satu kajian yang diterbitkan pada 1989. Kajian tersebut melibatkan 393 wanita yang menjalani kelahiran sama ada vakum atau forsep membandingkan mereka yang menerima antiibiotik cefotetan dengan wanita yang tidak menerima rawatan. Tiada perbezaan di antara kedua-dua kumpulan wanita dari segi usia, kehamilan terdahulu dan ciri-ciri penting yang lain. Dua hasil yang dilaporkan dalam kajian tersebut adalah jangkitan rahim (endometritis) dan tempoh penginapan hospital. Kajian melaporkan tujuh wanita mendapat jangkitan rahim (endometritis) dalam kumpulan yang tidak menerima sebarang antibiotik. Tiada wanita dalam kumpulan antibiotik dilaporkan mengalami jangkitan. Pemberian antibiotik tiada kesan ke atas tempoh penginapan hospital untuk ibu dalam kedua-dua kumpulan. Kualiti bukti untuk kedua-dua hasil dinilai sebagai rendah: bukti adalah dari kajian tunggal, yang melibatkan bilangan wanita yang kecil dan hanya melaporkan dua hasil.

Apakah maksudnya?

Bukti kajian tunggal ini mencadangkan bahawa antibiotik profilaktik menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam endometritis atau tempoh penginapan ibu. Tiada data tentang sebarang keputusan lain bagi menilai impak antibiotik untuk mencegah jangkitan selepas kelahiran vagina operatif. Kajian masa depan antibiotik profilaktik untuk kelahiran vagina operatif diperlukan untuk menyediakan bukti sama ada ia adalah intervensi yang berguna.

Nota terjemahan: 

Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save