Adakah profilaksis antibiotik berkesan atau selamat bagi wanita yang menjalani kelahiran vaginal operatif?

Kami berhasrat untuk menilai kajian rawak terkawal sama ada memberi antibiotik untuk semua wanita yang menjalani kelahiran vaginal operatif mencegah jangkitan dalam kalangan ibu tanpa meningkatkan hasil buruk bagi ibu dan bayi. Ekstraksi vakum atau forsep diguna untuk mengeluarkan kepala bayi dalam kelahiran vaginal operatif.

Apakah isunya?

Wanita yang menjalani kelahiran vaginal dengan bantuan vakum atau forsep mungkin lebih cenderung mendapat jangkitan selepas kelahiran apabila dibanding dengan wanita yang mengalami kelahiran vaginal spontan. Mereka juga lebih cenderung untuk dimasukkan semula ke hospital. Wanita lebih berisiko untuk jangkitan kerana keperluan ketererisasi rutin pundi kencing, pemeriksaan vagina berbilang, memasukkan instrumen ke dalam vagina, dan lebih risiko untuk luka vaginal yang dalam atau koyak semasa kelahiran operatif. Jangkitan muncul sebagai demam, jangkitan rahim dan tisu sekeliling, episiotomi atau vaginal koyak yang dijangkiti, atau jangkitan saluran kencing. Ini mempengaruhi keadaan fizikal ibu dan boleh mengimpak kesejahteraannya. Jangkitan juga boleh memasuki aliran darah dan mempengaruhi seluruh badan.

Kenapa ia penting?
Ekstraksi vakum atau forceps diguna untuk memendekkan persalinan dari saat serviks buka sepenuhnya hingga kelahiran (tahap kedua persalinan), terutama jika ia panjang atau bayi menunjukkan tanda-tanda distres. Antibiotik boleh diberi kepada ibu semasa kelahiran untuk mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan. Walau bagaimanapun, masih terdapat keraguan tentang manfaat antibiotik tersebut. Antibiotik juga boleh menyebabkan reaksi buruk seperti ruam atau cirit-birit dalam kalangan ibu, dan mungkin terdapat dalam susu ibu sehingga bayi yang menyusu terdedah kepadanya.

Apakah bukti yang kami temui?

Penyelidik mencari bukti daripada kajian rawak terkawal pada Julai 2019. Kami memasukkan dua kajian yang diterbitkan pada1989 dan 2019. Kajian yang lebih lama telah dijalankan di AS dan kajian terbaharu adalah dari beberapa unit obstetrik Hospital di UK. Sejumlah 3813 wanita yang menjalani kelahiran vaginal dimasukkan. Kajian di AS melibatkan 393 wanita dan membandingkan 2 g cefotetan intravena selepas pengapitan tali pusat tanpa rawatan. Kajian satu lagi melibatkan 3420 wanita. Kajian ini membandingkan amoksisilin intravena dan asid clavulanic dengan plasebo. Kepastian bukti adalah bervariasi dari kepastian tinggi ke rendah, dengan kepastian rendah dengan penurunan gred kerana kebimbangan berkaitan hasil yang tidak tepat, dengan sedikit peristiwa dan hanya satu kajian yang melaporkan beberapa penemuan.

Antibiotik profilaksis yang diberi untuk mengurangkan atau mencegah jangkitan mengurangkan separuh wanita yang mengalami episiotomi atau laserasi yang dijangkiti. Penemuan ini termasuklah jangkitan luka perineal dangkal dan dalam (satu kajian, 3420 wanita; bukti kepastian tinggi) atau kerosakan luka (satu kajian, 2593 wanita; bukti kepastian sederhana). Komplikasi berjangkit yang serius juga dikurangkan (satu kajian, 3420 wanita; bukti kepastian tinggi). Oleh kerana bukti kepastian rendah, profilaksis antibiotik mempunyai kesan yang tidak pasti terhadap endometritis, yang dilihat sebagai demam dan sakit rahim atau perdarahan berlebihan (dua kajian, 3813 wanita; bukti kepastian rendah) dan jangkitan episiotomi/laserasi yang dilihat sebagai jangkitan ruang atau organ perineum (satu kajian, 3420 wanita, bukti kepastian rendah,

Kesannya terhadap reaksi buruk ibu (satu kajian, 2593 wanita; bukti kepastian rendah) dan tempoh ibu tinggal di hospital (satu kajian, 393 wanita; bukti kepastian rendah) juga tidak jelas kerana kepastian kajian yang rendah. Kesakitan perineum dan akibat kesihatan sakit perineum dikurangkan sedikit. Profilaksis antibiotik tidak memberi kesan yang jelas terhadap sakit semasa hubungan seks dan penyusuan pada enam minggu. Kemasukan semula ibu ke hospital dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan ibu mungkin bertambah baik sedikit. Kos dikurangkan dengan penggunaan profilaksis antibiotik. Tiada kajian yang mengukur demam, jangkitan saluran kencing atau reaksi buruk dalam kalangan bayi.

Apakah maksudnya?

Profilaksis antibiotik ke dalam vena berkesan mengurangkan sakit akibat jangkitan dalam kalangan wanita yang menjalani kelahiran vaginal operatif, dan yang tidak mempunyai indikasi klinikal untuk antibiotik. Bukti itu terutamanya dari satu kajian di negara berpendapatan tinggi. Kajian rawak yang direka bentuk dengan baik di dalam persekitaran lain diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save