Rawatan untuk mencegah dermatitis perengsa tangan di tempat kerja

Soalan ulasan

Dalam ulasan ini, kami menetapkan untuk menilai bukti yang sedia ada berkenaan kesan krim penghalang, pelembab, sarung tangan, dan program pendidikan untuk pekerja yang berisiko mengalami kerengsaan kulit di tangan. Kami menjumpai sembilan kajian. Tiada satu pun menyiasat sarung tangan pelindung. Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 17 Januari 2018.

Latar belakang

Dermatitis perengsa tangan pekerjaan (OIHD) adalah penyakit kulit yang berlaku di tangan pekerja dalam pekerjaan tertentu. Tanda-tanda pertama adalah tompok-tompok merah dan bersisik di jari-jari dan di bahagian jari tangan. Lepuh gatal, retakan yang menyakitkan, dan jangkitan yang mungkin adalah perkara biasa, dan akhirnya kulit menjadi menebal.

Kerengsaan kulit tangan boleh menjejaskan pekerja yang sentiasa bersentuhan dengan air, bahan peluntur, bahan kimia, dan perengsa lain, atau yang memakai sarung tangan semasa hari bekerja. Orang yang mempunyai risiko tertentu termasuklah pendandan rambut, jururawat, pembersih, pembina, dan orang yang bekerja dalam industri pewarna, percetakan, logam, dan makanan. Keadaan ini agak biasa dan menjejaskan kira-kira 5 hingga 20 daripada 10,000 pekerja sepenuh masa setahun. Pencegahan OIHD adalah penting kerana ianya adalah sukar untuk dirawati sepenuhnya.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan sembilan kajian dalam ulasan ini, yang melibatkan 2888 pekerja lelaki dan wanita berusia antara 16 dan 67 tahun. Kajian-kajian tersebut merangkumi beberapa jenis pekerja: pekerja logam, pekerja pewarna dan pekerja pencetak kilang, pembersih usus di rumah penyembelihan khinzir, pembersih dan pekerja dapur, pekerja hospital, dan perantis dandanan rambut. Kami tidak dapat mengetahui sama ada tindakan pencegahan berkesan dalam semua profesion ini disebabkan oleh terlalu sedikit kajian. Kajian berlangsung dari empat minggu hingga tiga tahun.

Keputusan utama

Beberapa langkah pencegahan boleh mengurangkan risiko kerengsaan kulit tangan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kajian untuk memastikan ini. Kajian-kajian itu terlalu berbeza antara satu sama lain untuk digabungkan dengan cara yang bermakna, dan hasilnya tidak tepat. Oleh sebab itu, hasil kami masih dapat dipertikaikan.

Pelbagai krim penghalang, pelembap, dan program pendidikan perlindungan kulit disiasat. Adalah mungkin bahawa krim penghalang mungkin sedikit mengurangkan risiko membangunkan OIHD. Keputusan ini adalah berdasarkan empat kajian. Dalam kajian-kajian ini, 29% orang yang menggunakan krim penghalang menghidap kerengsaan kulit tangan. Dalam kumpulan kawalan, orang yang tidak menggunakan krim penghalang, 33% mengalami kerengsaan kulit tangan. Keputusan daripada tiga kajian menunjukkan bahawa pelembap dapat mengurangkan risiko mengembangkan OIHD dengan jumlah yang berguna. Tiga belas peratus daripada orang yang menggunakan pelembap mengalami kerengsaan kulit tangan, berbanding 19% daripada mereka yang tidak menggunakan pelembap. Dua kajian menunjukkan bahawa menggunakan kombinasi krim penghalang dan pelembap boleh mengurangkan risiko membangunkan OIHD dengan jumlah yang berguna. Lapan peratus orang yang menggunakan pelembap dan krim penghalang menghidap kerengsaan kulit tangan, berbanding 13% daripada kumpulan kawalan. Berdasarkan tiga kajian, kami tidak pasti sama ada pendidikan perlindungan kulit mengurangkan risiko membangunkan OIHD. Dalam kajian ini, 21% orang yang menerima pendidikan perlindungan kulit mengalami kerengsaan kulit tangan, berbanding 28% orang dalam kumpulan kawalan.

Keselamatan dan ketabahan langkah-langkah ini tidak ditangani secara sistematik dalam kajian-kajian ini. Walau bagaimanapun, tiada tindak balas yang serius terhadap rawatan dilaporkan. Reaksi ringan seperti gatal-gatal atau kemerahan kulit dilaporkan hanya beberapa orang yang menggunakan krim penghalang atau pelembab. Langkah-langkah untuk mencegah kerengsaan kulit tangan mungkin menyebabkan hanya sedikit atau tiada kesan buruk yang serius.

Kualiti bukti

Untuk krim penghalang, pelembab, atau gabungan kedua-duanya, kualiti bukti adalah rendah berkenaan pencegahan OIHD. Tiada maklumat yang mencukupi dan dermatitis tangan dinilai secara berbeza dalam seluruh kajian.

Bagi program-program pendidikan, kualiti bukti adalah sangat rendah berkenaan pencegahan kerengsaan kulit tangan. Tiada maklumat yang mencukupi, dermatitis tangan dinilai dengan berbeza di seluruh kajian, dan kajian-kajian ini kurang dijalankan dalam beberapa aspek penting.

Untuk hasil utama yang lain, keselamatan dan toleransi rawatan, kualiti bukti adalah sederhana kerana hanya terdapat hasil tidak langsung.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shih Yang (Hospital Umum Sarawak). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information