Kortikosteroid untuk meningitis bakteria

Soalan Ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan kortikosteroid kepada kematian, kehilangan pendengaran dan/atau sekuela neurologi (seperti kehilangan pendengaran, defisit neurologik) dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang mengidap meningitis bakteria akut.

Latar belakang

Meningitis bakteria akut adalah jangkitan meninges (sistem membran yang menyelubungi otak dan saraf tunjang), yang sering menyebabkan kehilangan pendengaran. Meningitis bakteria mengakibatkan maut dalam 5% hingga 40% kanak-kanak dan 20% hingga 50% orang dewasa walaupun dirawat dengan antibiotik yang mencukupi. Ia adalah disebabkan oleh bakteria yang biasanya merebak dari telinga atau jangkitan pernafasan dan ianya dirawat dengan antibiotik.

Kortikosteroid adalah ubat yang boleh mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh jangkitan. Kajian meningitis eksperimen dalam haiwan menunjukkan keradangan ini memburukkan lagi kerosakan sistem saraf. Penyelidikan mengenai penggunaan kortikosteroid sebagai tambahan kepada antibiotik telah menunjukkan keputusan yang bercanggah.

Kami ingin tahu sama ada penggunaan kortikosteroid adalah lebih baik atau buruk daripada plasebo.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2015. Kami mengenal pasti 25 percubaan, termasuk 4121 peserta dengan meningitis bakteria akut yang mana tujuh telah dijalankan di kalangan orang dewasa (berusia lebih 16 tahun), dua termasuk kanak-kanak dan orang dewasa dan yang lain telah dilakukan pada kanak-kanak. Dalam 22 kajian kortikosteroid yang digunakan adalah dexamethasone, dalam tiga yang lain hydrocortisone atau prednisone telah digunakan. Sembilan kajian telah dilakukan di negara-negara berpendapatan rendah dan 16 di negara-negara berpendapatan tinggi.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati bahawa kortikosteroid dexamethasone mengurangkan kadar kematian dengan ketara (17.8% berbanding 19.9%). Pesakit yang dirawat dengan kortikosteroid mempunyai kadar kehilangan pendengaran yang teruk (6.0% berbanding 9.3%), kehilangan pendengaran (13.8% berbanding 19.0%) dan sekuel neurologi (17.9% berbanding 21.6%).

Analisis untuk bakteria yang berbeza menyebabkan meningitis menunjukkan bahawa pesakit dengan meningitis disebabkan oleh Streptococcus pneumoniae (S pneumoniae) dirawat dengan kortikosteroid mempunyai kadar kematian yang lebih rendah (29.9% berbanding 36.0%), manakala tiada kesan dilihat ke atas kematian pada pesakit dengan Haemophilus influenzae ( H influenzae) dan meningitidis Neisseria (meningitidis N) Meningitis.

Di negara-negara berpendapatan tinggi, kortikosteroid telah mengurangkan kehilangan pendengaran yang teruk, apa-apa kehilangan pendengaran dan sekuela neurologi jangka pendek. Tidak ada kesan bermanfaat terhadap terapi kortikosteroid di negara-negara yang berpendapatan rendah.

Kortikosteroid mengurangkan kadar kehilangan pendengaran dikalangan kanak-kanak dengan meningitis disebabkan oleh H. influenzae (4% berbanding 12%), tetapi tidak pada kanak-kanak dengan meningitis yang disebabkan oleh bakteria lain.

Dexamethasone meningkatkan kadar demam berulang (28% berbanding 22%) tetapi tidak dikaitan dengan kejadian buruk yang lain.

Kualiti bukti

Daripada 25 kajian, empat adalah dari kualiti yang tinggi, 14 berkualiti sederhana dan tujuh daripada kualiti yang rendah, yang membawa kualiti keseluruhan bukti tersebut adalah sederhana. .

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus) Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information