Terapi muzik untuk penghidap gangguan spektrum autisme

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan Ulasan

Kami mengkaji bukti-bukti tentang kesan terapi muzik terhadap penghidap gangguan spektrum autisme (ASD). Kami membandingkan terapi muzik ataupun terapi muzik dan penjagaan standard dengan tiada terapi, rawatan yang sama tanpa muzik(terapi plasebo), atau penjagaan standard.

Latar belakang

Penghidap ASD mempunyai masalah dengan interaksi sosial dan komunikasi. Terapi muzik menggunakan pengalaman muzikal dan hubungan yang diwujudkan dalam mereka untuk membantu mereka berhubung dengan orang lain, berkomunikasi dan berkongsi perasaan mereka. Dengan cara ini, terapi muzik menangani sesetengah masalah utama penghidap ASD. Kami ingin mengetahui sama ada terapi muzik membantu orang dengan ASD berbanding dengan alternatif yang lain.

Ciri-ciri Kajian

Kami memasukkan 10 kajian, dengan sejumlah 165 orang peserta. Kajian-kajian ini mengkaji kesan intervensi terapi muzik untuk jangka masa pendek dan sederhana(satu minggu hingga tujuh bulan) bagi kanak-kanak dengan ASD.

Hasil Utama

Terapi muzik adalah lebih baik berbanding dengan terapi 'plasebo' atau penjagaan standard dari segi interaksi sosial, kemahiran komunikasi secara bukan lisan dan lisan, inisiatif tingkah laku, dan timbal balik sosial dan emosi. Terapi muzik juga lebih baik berbanding dengan terapi 'plasebo' atau penjagaan standard dalam bidang-bidang penyesuaian sosial, kegembiraan dan kualiti hubungan ibubapa dengan anak. Tiada kajian yang dimasukkan melaporkan sebarang kesan sampingan yang disebabkan oleh terapi muzik.

Kualiti Bukti

Kualiti bukti adalah sederhana untuk interaksi sosial di luar konteks terapi, inisiatif tingkah laku, penyesuaian sosial, dan kualiti hubungan ibubapa dengan anak, dan rendah untuk tiga hasil kajian yang lain(komunikasi bukan lisan di luar konteks terapi, komunikasi lisan di luar konteks terapi, dan timbal balik emosi dan sosial). Sebab-sebab kualiti bukti terhad adalah disebabkan isu-isu reka bentuk kajian dan jumlah peserta yang menyertai kajian-kajian kecil.

Kesimpulan Penulis

Terapi muzik mungkin dapat membantu kanak-kanak dengan ASD untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang-bidang yang penting seperti interaksi sosial dan komunikasi. Terapi muzik mungkin juga boleh menyumbang untuk meningkatkan kemahiran penyesuaian sosial bagi kanak-kanak dengan ASD dan meningkatkan kualiti hubungan ibubapa dengan anak. Sesetengah kajian yang dimasukkan menggunakan intervensi yang setanding dengan rawatan dalam amalan klinikal. Lebih banyak penyelidikan dengan reka bentuk yang berkualiti dan menggunakan bilangan pesakit yang lebih besar diperlukan. Ia adalah penting untuk mengkaji secara khusus tentang berapa lama kesan terapi muzik akan kekal. Penggunaan terapi muzik memerlukan latihan akademik dan klinikal khusus. Ini adalah penting semasa menggunakan hasil kajian dalam ulasan ini untuk amalan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com