Intervensi untuk memperbaiki tingkah laku orang terhadap pengambilan ubat penurun lipid

Soalan Ulasan

Intervensi mana yang membantu meningkatkan keupayaan orang untuk mengambil ubat penurun lipid dengan lebih kerap?

Latar belakang

Terapi penurun lipid terbukti dapat mengurangkan risiko kedua-dua serangan jantung dan strok. Namun begitu, pengambilan ubat ini seperti yang ditetapkan tidak setinggi yang diinginkan. Pada masa yang lalu, beberapa kaedah telah dicuba untuk meningkatkan kadar di mana orang mengambil rawatan penurun lipid ini. Ulasan Cochrane sebelumnya tidak menunjukkan faedah yang jelas daripada kaedah tertentu. Kami telah mengemas kini ulasan kami untuk melihat jika wujudnya kaedah baru pada zaman digital ini yang telah diuji sebagai kaedah untuk meningkatkan kadar ini.

Carian

Pencarian kami merangkumi 11 kajian yang dikenal pasti dari versi sebelumnya pada tahun 2004 dan 2010. Kami melakukan carian terkini dari pangkalan data elektronik yang sama pada 3 Februari 2016, dan kami mencari daftar percubaan klinikal sehingga 27 Julai 2016.

Ciri-ciri kajian

Orang yang termasuk dalam kajian ini adalah orang dewasa berusia lebih daripada 18 tahun yang merupakan pesakit luar, di mana terapi penurun lipid dianjurkan. Kami memasukkan 35 kajian, dengan 925,171 peserta, dalam ulasan ini.

Hasil utama

Daripada 35 kajian yang disertakan, 16 membandingkan intervensi yang dikategorikan sebagai 'rawatan pesakit yang dipergiatkan' berbanding rawatan biasa. Campur tangan ini merangkumi peringatan elektronik, intervensi yang dipimpin oleh ahli farmasi, dan pendidikan profesional penjagaan kesihatan untuk membantu orang lebih ingat untuk mengambil ubat mereka. Jenis intervensi ini jika dibandingkan dengan penjagaan standard menunjukkan kadar kepatuhan yang jauh lebih baik untuk jangka pendek (hingga dan termasuk enam bulan) dan juga jangka panjang (lebih lama daripada enam bulan). Selain itu, tahap kolesterol lebih baik dalam jangka masa panjang dan pendek dalam mereka yang ditawarkan intervensi, berbanding dengan mereka yang mendapat rawatan biasa.

Kualiti bukti

Kami mengambil kira hanya kajian rawak terkawal untuk tinjauan ini. Memandangkan sifat intervensi-intervensi ini, tidak mungkin peserta tidak menyedari kumpulan mana yang mereka berada. Walau bagaimanapun, analisis bentuk bias lain menunjukkan bahawa secara amnya kajian berisiko rendah bias. Kami menilai bukti hasil menggunakan sistem GRADE, dan menilai ia sebagai kualiti tinggi untuk kepatuhan jangka panjang (lebih dari enam bulan) dan untuk pengurangan kolesterol total, dan kualiti sederhana untuk kepatuhan ubat jangka pendek (hingga enam bulan) dan untuk tahap kolesterol LDL. Untuk hasil keseluruhan tahap kolesterol kurang dari enam bulan susulan, kami menurunkan bukti menjadi berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information