Adakah menggalakkan orang untuk mencuci tangan menghentikan cirit-birit?

Mesej utama

Menggalakkan mencuci tangan mungkin mengurangkan bilangan kanak-kanak mengalami cirit-birit, sekitar 30%, dalam komuniti di negara berpendapatan rendah hingga sederhana dan di pusat jagaan kanak-kanak di negara berpendapatan tinggi.

Kami tidak menemui bukti tentang kesan jangka panjang program mencuci tangan.

Apakah yang menyebabkan cirit-birit?

‘Cirit-birit’ adalah nama untuk pergerakan usus yang kerap atau membuang najis yang luar biasa lembut atau berair. Jangkitan usus oleh bakteria, virus, atau parasit sering menyebabkan cirit-birit, dan kebanyakannya tersebar melalui air yang tercemar najis.

Gejala cirit-birit biasanya bertambah baik dalam beberapa hari. Walau bagaimanapun, dalam cirit-birit yang teruk atau berpanjangan, terlalu banyak air, garam, dan nutrien mungkin hilang dari badan. Kehilangan ini boleh menyebabkan dehidrasi dan bahkan kematian. Cirit-birit adalah penyebab utama kematian dan penyakit dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Mencegah cirit-birit

Kebanyakan kematian yang berkait dengan cirit-birit akibat patogen yang diperoleh dari air minuman yang tidak selamat, keadaan kebersihan yang buruk, dan kurangnya higin. Mencuci tangan dengan sabun dan air menghilangkan bakteria, virus, dan parasit yang menyebabkan penyakit. Program dan aktiviti yang menggalakkan orang mencuci tangan telah dikembangkan untuk diguna dalam masyarakat dan sekolah, termasuk latihan higin, poster, risalah, buku komik, lagu-lagu, dan drama.

Mengapa kami membuat Ulasan Cochrane ini

Kami tahu mencuci tangan pada waktu yang tepat dapat mencegah cirit-birit, tetapi kami tidak tahu cara terbaik untuk menggalakkan amalan ini. Kami ingin tahu jika program dan aktiviti yang telah dikaji untuk tujuan ini berkesan meningkatkan pencucian tangan dan mengurangkan cirit-birit.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat penggunaan program untuk menggalakkan mencuci tangan di komuniti, pusat jagaan harian, sekolah, hospital, dan rumah tangga. Kami berminat sama ada mengambil bahagian dalam program tersebut mempengaruhi berapa kali orang-orang dalam kajian melaporkan cirit-birit.

Kami mencari kajian-kajian di mana rawatan yang diterima ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan.

Tarikh carian

Kami sertakan bukti yang diterbitkan sehingga 8 Januari 2020.

Apa yang kami temui

Kami temui 29 kajian:

13 kajian (54,471 orang) berlaku di pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah di negara berpendapatan tinggi;
15 kajian (29,347 orang) adalah berasaskan komuniti di negara berpendapatan rendah hingga sederhana; dan
1 kajian (148 orang) di hospital.

Kajian-kajian tersebut melihat kesan program mencuci tangan terhadap bilangan orang dalam kajian melaporkan cirit-birit. Kesan program diikuti selama empat bulan hingga satu tahun.

Tiada kajian melaporkan kesan program mencuci tangan terhadap bilangan kematian orang akibat cirit-birit, bilangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun yang mati (akibat sebarang punca), atau sama ada manfaat berkaitan program ini melebihi sebarang kos tambahan.

Apakah keputusan ulasan kami?

Semua kajian membandingkan kesan program galakkan mencuci tangan dengan tiada program tentang mencuci tangan.

Di pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah: di negara berpendapatan tinggi, menggalakkan mencuci tangan mengurangkan kekerapan kanak-kanak mengalami cirit-birit (9 kajian, 4664 kanak-kanak); dan di negara berpendapatan rendah hingga sederhana mungkin mengurangkan kekerapan kanak-kanak mengalami cirit-birit (2 kajian, 45,380 kanak-kanak).

Di komuniti di negara berpendapatan rendah hingga sederhana, galakan mencuci tangan mungkin mengurangkan kekerapan kanak-kanak (sehingga 15 tahun) mengalami cirit-birit (9 kajian; 15,950 kanak-kanak).

Dalam kalangan dewasa dengan AIDS di hospital, galakan mencuci tangan mungkin mengurangkan kekerapan cirit-birit dan mungkin memperbaiki tingkah laku mencuci tangan (mencuci tangan lebih kerap) selepas satu tahun susulan (1 kajian, 148 orang).

Adakah keputusan ini boleh percaya?

Kami yakin di negara berpendapatan tinggi, program mencuci tangan di sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak mengurangkan bilangan kanak-kanak mengalami cirit-birit. Keputusan ini mungkin tidak berubah dengan lebih banyak bukti. Kami kurang yakin dengan keputusan untuk negara berpendapatan rendah hingga sederhana, yang berdasarkan bilangan kecil kajian dan mungkin atau mungkin tidak berubah dengan lebih banyak bukti.

Kami sederhana yakin tentang keputusan kami untuk kanak-kanak di komuniti dan orang dewasa yang dirawat di hospital dengan AIDS. Keputusan ini mungkin berubah jika terdapat lebih banyak bukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information