Pembedahan pada hari yang sama berbanding tinggal semalaman untuk rawatan katarak disebabkan usia tua

Soalan ulasan
Adakah pembedahan jagaan harian sama berkesan, selamat, dan boleh dilaksanakan bagi merawat penyakit katarak seperti pembedahan pesakit dalam?

Latar belakang
Kanta dalam mata boleh menjadi kabur seiring usia (dipanggil katarak), mengakibatkan penglihatan kabur atau hilang penglihatan secara keseluruhan. Katarak boleh dibuang melalui pembedahan dengan memecahkan kanta dan membuang serpihannya dengan jarum (satu proses dipanggil fakoemulsifikasi), diikuti dengan meletakkan kanta tiruan untuk mengembalikan penglihatan. Kaedah pembedahan ini yang pantas dan mempunyai tempoh pemulihan yang pendek membolehkan pembedahan harian menjadi realiti. Kami ingin mengetahui sama ada pembedahan di unit rawatan harian adalah sama berkesan dan selamat seperti tinggal semalaman setelah pembedahan untuk menggantikan kanta dan mendapatkan penglihatan yang lebih baik. Tambahan pula, kami juga ingin mengetahui kesan sampingan, risiko dan komplikasi daripada dua pendekatan berbeza ini. Kami mengambil kira peningkatan kualiti hidup dan perbezaan kos.

Ciri-ciri kajian
Ulasan ini memasukkan dua kajian (sehingga Ogos 2015) yang dijalankan di Sepanyol dan di AS, melibatkan 1284 orang dengan katarak. Sejumlah 68 orang dirawat di pembedahan jagaan harian, manakala 598 tinggal semalaman di hospital. Purata umur peserta adalah kira-kira 70 tahun dan wanita lebih ramai sedikit daripada lelaki. Kajian ini tidak ditaja oleh syarikat ubat.

Keputusan utama
Kedua-dua kajian dalam ulasan ini menemui bahawa sekurang-kurangnya di negara yang maju, terdapat beberapa bukti yang pembedahan harian untuk jenis pengekstrakan katarak seperti ini bukan sahaja lebih murah tetapi sama berkesan dengan kemasukan ke hospital dan tinggal semalaman untuk pengekstrakan katarak. Walaupun bukti komplikasi setelah pembedahan seperti bengkak di kornea, luka terbocor dan peningkatan sementara tekanan dalam mata adalah tidak konklusif, terdapat sedikit perbezaan dalam ketajaman penglihatan dan peningkatan dalam kualiti hidup.

Kualiti bukti
Satu daripada dua kajian menunjukkan batasan dalam reka bentuk kajian dan cara ia dilaksanakan, mungkin kerana ia adalah kajian yang lama dan telah dilaporkan dengan cara yang kurang mantap. Ia memberikan kurang data untuk ulasan ini. Orang yang dimasukkan dalam kajian ini adalah wakil kepada kumpulan yang kami minati.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Ahna Afnani Mohamed Azam (RCSI and UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information