Ibuprofen untuk pencegahan duktus arteriosus paten dalam bayi lahir pramatang atau/dan berat lahir rendah

Soalan ulasan. Adakah prophylactic ibuprofen berbanding dengan plasebo/tanpa intervensi atau indomethacin berkesan dan selamat untuk pencegahan PDA dalam bayi pramatang?

Latar belakang. Duktus arteriosus paten (PDA) adalah satu komplikasi yang biasa untuk bayi yang sangat pramatang atau sangat kecil. PDA adalah satu saluran darah yang terbuka yang mengalirkan darah dari paru-paru ke seluruh badan. Ia sepatutnya ditutup selepas bayi dilahirkan, tetapi kadang kala kekal terbuka oleh sebab peringkat perkembangan bayi yang kurang matang dan ini boleh mengakibatkan komplikasi yang membahayakan nyawa. Indomethacin berjaya dalam menyebabkan penutupan PDA namun boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Pilihan lain adalah ubat ibuprofen, yang boleh diberikan untuk mencegah PDA.

Ciri-ciri kajian. Lebih daripada 1000 bayi telah dilibatkan dalam kajian ibuprofen untuk pencegahan PDA; kebanyakan kajian mempunyai saiz sampel yang kecil.

Keputusan utama. Penggunaan ibuprofen secara prophylactic mengurangkan kejadian ductus arteriosuspaten PDA), keperluan untuk rawatan penyelamat dengan ubat-ubatan lain, atau keperluan untuk penutupan dengan pembedahan. Kesan sampingan dalam kumpulan yang menerima ibuprofen berbanding dengan kumpulan plasebo atau tanpa intervensi termasuklah peningkatan ketara dalam risiko komplikasi buah pinggang. Risiko pendarahan saluran penghadaman meningkat dengan ibuprofen. Risiko pendarahan dalam otak (intraventricular), atau pendarahan ke dalam otak (gred II hingga IV), berkurang dengan sedikit relevan, tetapi penyelidik melaporkan tiada perbezaan statistik yang relevan dalam mortaliti, penyakit paru-paru kronik pada hari ke-28 atau pada umur 36 minggu selepas haid, inflamasi usus dengan kematian sel, atau masa untuk mencapai suapan penuh. Dalam kumpulan kawalan, PDA menutup secara spontan menjelang hari ke-3 atau ke-4 dalam 58% bayi neonatal. Oleh itu, rawatan pencegahan mendedahkan sebahagian besar bayi terhadap pengambilah ubatan yang tidak diperlukan yang mempunyai kesan sampingan yang penting, tanpa memberi apa-apa hasil manfaat jangka pendek yang penting. Tiada kajian susulan jangka panjang yang telah diterbitkan. Bukti semasa tidak menyokong penggunaan ibuprofen untuk pencegahan PDA. Satu pendekatan baru untuk pengurusan PDA ialah rawatan awal yang disasarkan berdasarkan kepada echocardiographic (ECG), atau imej jantung, kriteria dalam masa 72 jam pertama hidup; ini mempunyai sensitiviti yang tinggi untuk mendiagnos PDA yang tidak berkemungkinan menutup secara spontan. Ujian sedemikian sedang dijalankan di sekitar dunia.

Kualiti bukti. Ulasan tentang kajian yang dikemaskini ini mendapati bahawa ibuprofen boleh mencegah PDA tetapi tidak memberikan apa-apa faedah jangka pendek atau jangka panjang yang lain. Kualiti bukti berbeza-beza dari rendah ke tinggi untuk hasil yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Manisha Coran (RCSI-UCD-Malaysian Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi manisha@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save