Rawatan untuk ereksi berpanjangan dan menyakitkan dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan lelaki dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Apakah faedah dan risiko rawatan yang berbeza untuk kegagapan (episod pendek berulang) dan fulminan (tahan selama enam jam atau lebih) priapisme dalam penyakit sel sabit?

Latar belakang

Priapisme (ereksi penis yang menyakitkan dan berpanjangan) adalah perkara biasa pada lelaki dengan penyakit sel sabit. Tempoh masa priapisme berlangsung berbeza untuk jenis yang berbeza begitu juga rawatan perubatan untuknya. Pendekatan pengurusan kendiri mungkin berguna. Penyelidik mencari ujian rawak terkawal untuk rawatan yang berbeza dalam mencari pilihan yang terbaik.

Tarikh carian

Penyelidik kali terakhir mencari bukti pada 15 September 2017.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik menjumpai tiga kajian yang dijalankan di Jamaica, Nigeria dan UK yang melibatkan 102 orang.

Keputusan utama

Dalam kajian ini, empat rawatan dengan ubat yang berbeza (stilboestrol, sildenafil, ephedrine dan etilefrine) dibandingkan dengan plasebo. Kesemua kajian melihat sama ada rawatan mengurangkan kekerapan berlakunya serangan priapisme. Tiada perbezaan di antara sebarang rawatan berbanding dengan plasebo. Oleh kerana kekurangan bukti, penyelidik tidak dapat menyimpulkan rawatan terbaik untuk prapisme dalam penyakit sel sabit. Lebih banyak kajian diperlukan.

Kualiti bukti

Penyelidik mempertimbangkan kualiti bukti sebagai rendah hingga sangat rendah kerana kesemua kajian adalah berisiko terhadap bias dan kesemuanya mempunyai bilangan peserta yang rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save