Kesan diet garam rendah ke atas tekanan darah dan hormon-hormon serta lipid dalam kalangan orang dengan tekanan darah normal dan tekanan darah tinggi

Soalan ulasan

Dalam kemaskini Cochrane ke-4 ini sejak 2003, kajian-kajian di mana peserta diagih secara rawak kepada kumpulan-kumpulan dengan pengambilan garam tinggi dan rendah di analisis untuk menyiasat kesan pengurangan pengambilan garam terhadap tekanan darah (BP) serta potensi kesan sampingan pengurangan garam terhadap hormon dan lipid.

Latar belakang

Oleh kerana pengurangan pengambilan garam menurunkan tekanan darah (BP) dalam kalangan individu dengan tekanan darah tinggi, kita sering dinasihatkan untuk mengurangkan garam, dengan anggapan ini akan mengurangkan mortaliti. Walau bagaimanapun, kesan pengurangan garam dalam kalangan orang dengan BP normal telah dipersoalkan. Tambahan pula, beberapa kajian menunjukkan pengurangan garam mengaktifkan sistem hormon pengekalan garam (renin dan aldosteron), hormon stres (adrenalin dan noradrenalin) serta meningkatkan asid lemak (kolesterol dan trigliserid) dalam darah. Pemerhatian terbaharu populasi umum menunjukkan pengambilan garam yang rendah dikaitkan dengan peningkatan mortaliti

Tarikh carian

Bukti semasa adalah terkini sehingga April 2018.

Ciri-ciri kajian

Seratus sembilan puluh lima kajian intervensi bagi 12296 individu bertempoh tiga hingga 1100 hari dimasukkan, yang menilai sekurang-kurangnya satu ukuran kesan. Peserta adalah sihat atau dengan tekanan darah tinggi. Kajian longitudinal menunjukkan kesan pengurangan pengambilan garam terhadap BP stabil selepas tujuh hari maksimum dan kajian populasi menunjukkan sangat kurang orang yang mengambil lebih daripada 14.5g garam sehari. Oleh itu, kami juga membuat analisis sub-kumpulan 131 kajian dengan tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari dan pengambilan garam maksimum 14.5g.

Sumber pembiayaan kajian

Hanya enam kajian dibiaya oleh organisasi industri makanan.

Keputusan utama

Purata pengambilan garam telah dikurangkan dari 11.5g sehari kepada 3.8g sehari. Pengurangan SBP/DBP dalam kalangan orang dengan tekanan darah normal adalah 1.1/0 mmHg (sekitar 0.3%), dan dalam kalangan orang dengan hipertensi 5.7/2.9 mmHg (sekitar 3%). Walau bagaimanapun, kesan terhadap hormon dan lipid adalah sama dalam kalangan orang dengan tekanan darah normal dan hipertensi. Renin meningkat 55%; aldosteron meningkat 127%; adrenalin meningkat 14%; noradrenalin meningkat 27%; kolesterol meningkat 2.9%; dan trigliserid meningkat 6.3%.

Kualiti bukti

Hanya kajian rawak terkawal disertakan dan gred bukti dianggap tinggi, walaupun diturunkan dalam beberapa analisis kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information