Kesan diet garam rendah ke atas tekanan darah dan beberapa hormon dan lipid dalam kalangan orang yang mempunyai tekanan darah norml dan tekanan darah tinggi

Soalan ulasan

Dalam kemaskini Cochrane ke-4 ini sejak tahun 2003 kajian-kajian yang mana peserta diagihkan secara rawak kepada kumpulan-kumpulan dengan pengambilan garam tinggi dan rendah dianalisa untuk mengkaji kesan pengurangan pengambilan garam terhadap tekanan darah (BP) dan potensi kesan sampingan pengurangan natriumgaram.

Latar belakang

Oleh kerana pengurangan pengambilan garam menurunkan tekanan darah (BP) dalam kalangan individu dengan tekanan darah tinggi, kita sering dinasihatkan untuk mengurangkan garam, dengan anggapan bahawa ini akan mengurangkan kematian. Namun, kesan pengurangan garam dalam kalangan orang dengan BP yang normal telah dipersoalkan. Tambahan pula, beberapa kajian tekah menunjukkan pengurangan garam mengaktifkan sistem hormon pengekalan garam (renin dan aldosteron), hormon stres (adrenalin dan noradrenalin) dan peningkatan asid lemak (kolesterol dan trigliserid) dalam darah. Akhirnya, pemerhatian baru-baru ini pada populasi umum menunjukkan bahawa pengambilan garam yang rendah dikaitkan dengan peningkatan kematian

Tarikh carian

Bukti semasa adalah terkini sehingga April 2018.

Ciri-ciri kajian

Seratus sembilan puluh lima kajian intervensi bagi 12296 individu bertempoh tiga hingga 1100 hari dimasukkan, yang menilai sekurang-kurangnya satu ukuran kesan. Peserta adalah sihat atau mempunyai tekanan darah yang tinggi. Kajian longitudinal telah menunjukkan kesan pengurangan pengambilan garam terhadap tekanan darah yang stabil selepas tujuh hari maksima dan kajian populasi telah menunjukkan sangat kurang orang yang mengambil 14.5 g garam setiap hari. Oleh itu, kami juga membuat sub-analisis kumpulan 131 kajian dengan tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari dan pengambilan garam maksima 14.5 g.

Sumber dana kajian

Hanya enam kajian dibiaya oleh organisasi industri makanan.

Keputusan utama

Purata pengambilan natrium diet telah dikurangkan dari 11.5 g sehari kepada 3.8 g sehari. Pengurangan SBP / DBP pada orang dengan tekanan darah normal adalah 1,1 / 0 mmHg (sekitar 0,3%), dan pada orang dengan hipertensi 5,7 / 2,9 mmHg (sekitar 3%). Walau bagaimanapun, kesan hormon dan lipid adalah sama dalam kalangan orang yang bertekanan darah normal dan tinggi. Renin meningkat 55%; aldosteron meningkat 127%; adrenalin meningkat 14%; noradrenalin meningkat 27%; kolesterol menningkat 2.9%; dan trigliserid meningkat 6.3%.

Kualiti bukti

Hanya kajian rawak terkawal dimasukkan dan gred bukti dianggap tinggi, walaupun diturunkan dalam beberapa analisis kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save