Ubat tahan sakit untuk melegakan sakit yang disebabkan oleh rawatan ortodontik

Soalan sorotan

Adakah ubat tahan sakit sebelum atau selepas rawatan ortodontik membantu melegakan sakit? Jika benar, ubat yang manakah paling berkesan?

Latar belakang

Sakit adalah kesan sampingan lazim rawatan ortodontik. Sakit akibat rawatan ortodontik mungkin berbeza bergantung kepada jumlah daya yang dikenakan dan jenis pendakap yang diguna. Ia juga mungkin berubah selepas beberapa hari rawatan. Sakit telah disenaraikan sebagai aspek rawatan paling teruk dan merupakan alasan yang lazim digunakan orang untuk memberhenti rawatan ortodontik. Ubat tahan sakit, ditelan atau diaplikasi kepada kawasan mulut yang sakit selepas rawatan, dijangka dapat melegakan sakit, maka menjadikan rawatan pendakap lebih selesa dan boleh diterima. Ubat-ubat ini mudah didapati, agak murah, mudah diguna dan tidak menyebabkan kesan sampingan.

Ciri-ciri kajian

Penulis yang bekerja dengan Kesihatan Oral Cochrane menjalankan sorotan kajian-kajian sedia ada dan bukti adalah terkini sehingga 19 Jun 2017. Sorotan ini melibatkan 32 kajian yang diterbitkan dari 1993 hingga 2016 di mana 3110 peserta berumur antara 9 hingga 34 tahun (2348 yang dimasukkan dalam analisis) dipilih secara rawak dalam kumpulan yang menerima:

1) ubat tahan sakit berbanding tiada rawatan,

2) ubat tahan sakit berbanding plasebo (ubat palsu atau tiruan),

3) satu ubat tahan sakit berbanding ubat tahan sakit lain, atau

4) satu ubat tahan sakit yang diambil pada selang masa berbeza.

Keterukan sakit yang dialami oleh peserta dibandingkan. Hampir semua bukti adalah daripada orang dewasa yang menerima ubat tahan sakit oral berbanding tiada rawatan, atau satu ubat tahan sakit oral berbanding ubat tahan sakit oral yang lain. Bukti ini dibahagikan kepada dua kumpulan utama:

1) orang dewasa yang menerima parasetamol; atau

2) orang dewasa yang menerima ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs)

Sedikit bukti juga menyiasat kesan bius setempat dan opiod (tramadol)

Keputusan utama

Analgesik berbanding plasebo atau tiada rawatan

Kami menemui bukti parasetamol, NSAIDs dan bius setempat berkesan mengurangkan intensiti sakit pada 2 jam, 6 jam dan 24 jam selepas rawatan ortodontik apabila dibandingkan dengan kumpulan plasebo atau tiada rawatan.

NSAID berbanding parasetamol

Kami tidak menemui bukti jelas perbezaan di antara kesan ibuprofen dengan parasetamol untuk mengurangkan intensiti sakit pada 2 jam, 6 jam dan 24 jam selepas perletakan pemisah (di antara gigi) atau perletakan awal jajaran dawai arkus.

Pengambilan NSAID sebelum berbanding selepas rawatan

Kami menemui sedikit bukti berkualiti sangat rendah ibuprofen yang diambil 1 jam sebelum perletakan pemisah mengurangkan intensiti sakit dengan signifikan 2 jam kemudian apabila dibandingkan dengan ibuprofen yang diambil selepas rawatan. Namun, pada 6 jam dan 24 jam, kami tidak menjumpai perbezaan yang jelas.

NSAID berbanding bius setempat

Tiada bukti perbezaan di antara intervensi.

Kualiti bukti

Bukti sedia ada untuk hasil utama kelegaan sakit adalah berkualiti sederhana hingga rendah, sementara kualiti bukti yang lainnya adalah sangat rendah. Kami menilai hanya satu kajian berisiko bias rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save