Sedasi untuk kanak-kanak yang menjalani rawatan pergigian

Soalan ulasan

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui ubatan sedatif manakah yang paling berkesan untuk kanak-kanak semasa rawatan pergigian.

Latar belakang

Takut kepada doktor pergigian boleh diekspresi sebagai tingkah laku tidak bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan rawatan pergigian. Masalah pengendalian tingkah laku boleh menyebabkan kerosakan gigi kanak-kanak tidak dapat dirawat. Walaupun teknik tingkahlaku memainkan peranan penting dalam pengurusan kanak-kanak, segelintir kanak-kanak sukar bekerjasama semasa rawatan pergigian dan mungkin memerlukan sedasi. Ulasan ini menilai keberkesanan ubat sedatif untuk kanak-kanak sambil mengekalkan keadaan sedar mereka.

Ciri-ciri kajian

Pengarang-pengarang daripada Kesihatan Oral Cochrane telah membuat ulasan ini dan bukti adalah terkini sehingga 22 November 2018. Sejumlah 50 kajian rawak terkawal dengan sejumlah 3704 peserta dimasukkan. Dalam kajian-kajian tersebut, 34 sedatif yang berlainan telah diguna, kerapkali dengan penyedutan nitrus oksida. Dos dan cara pemberian adalah berbeza-beza. Kami mengumpulkan kajian-kajian kepada kumpulan yang membandingkan ubatan dengan plasebo, ubatan dengan ubatan lain atau dos-dos ubatan yang berlainan. Oleh kerana kajian-kajian sangat berbeza, kami hanya menjalankan meta-analisis untuk kajian-kajian yang membandingkan midazolam oral dengan plasebo. Ulasan ini menunjukkan penggunaan midazolam oral membuat pesakit lebih bekerjasama untuk rawatan pergigian berbanding plasebo. Sekiranya dilaporkan, kesan buruk adalah sedikit and kecil.

Keputusan-keputusan utama

Midazolam oral mungkin memperbaiki tingkahlaku kanak-kanak semasa rawatan pergigian. Kami menilai sedatif-sedatif lain tetapi tiada bukti cukup untuk membuat kesimpulan.

Kepastian bukti

Terdapat bukti kepastian sederhana bahawa midazolam yang diberi di dalam minuman jus adalah berkesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save