Oxycodone untuk sakit yang berkaitan dengan kanser dalam kalangan orang dewasa

Latar belakang

Kebanyakan pesakit kanser mengalami kesakitan dari tahap sederhana ke teruk yang memerlukan rawatan dengan ubat penahan sakit kuat yang diklasifikasikan sebagai opioids.

Oxycodone dan morfin adalah contoh opioids yang digunakan untuk melegakan kesakitan kanser tersebut. Walau bagaimanapun, ubat penahan sakit yang kuat tidak semestinya berkesan mengurangkan kesakitan ataupun sesuai untuk semua orang. Ulasan ini bertujuan untuk menilai sama ada penggunaan oxycodone berkaitan dengan kelegaan kesakitan dan toleransi yang lebih baik daripada ubat penahan sakit kuat yang lain bagi orang dewasa dengan sakit disebabkan kanser.

Ciri-ciri kajian

Dalam kemaskini ini pada November 2016, kami menjumpai enam lagi kajian yang berkaitan. Secara keseluruhan, kami melibatkan 23 kajian dengan 2648 peserta. Kajian-kajian ini membandingkan keberkesanan penahan sakit (kebaikan) dan kesan sampingan (kemudaratan) pelbagai jenis oxycodone atau dengan ubat penahan sakit kuat yang lain.

Keputusan utama

Secara amnya, kajian-kajian menunjukkan bahawa oxycodone adalah suatu ubat penahan sakit kuat yang berkesan, sama ada diambil setiap enam jam atau 12 jam, dan sama berkesan dengan ubat penahan sakit kuat yang lain, seperti morfin.

Semua yang ubat penahan sakit kuat yang dikaji dalam kajian-kajian ini juga dikaitkan dengan beberapa kesan tidak diingini, seperti muntah, sembelit dan rase mengantuk. Secara keseluruhannya, ini tidak berbeza antara oxycodone dan ubat penahan sakit kuat yang lain. Halusinasi atau rayan (di mana orang mengalami khayalan, contohnya mendengar suara) adalah kesan sampingan yang amat jarang didapati tetapi kami mendapati bahawa ia lagi jarang dengan penggunaan oxycodoneberbanding morfin.

Secara keseluruhannya, kami mendapati bahawa bukti terkini mengandungi kajian-kajian yang melibatkan bilangan peserta yang kecil di mana ramai (19%) tidak melengkapkan kajian. Walau bagaimanapun, disebabkan oxycodone dan morfin agak agak serupa, penyelidikan lebih lanjut dalam bidang ini kurang mungkin dijalankan. Kajian-kajian yang membandingkan oxycodone dengan ubat penahan sakit kuat yang lain mungkin lebih berguna.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermaksud bahawa kami tidak pasti mengenai keputusan dalam kajian tersebut. Bukti yang berkualiti tinggi bermaksud bahawa kami sangat yakin terhadap keputusan kajian tersebut. Keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah disebabkan isu dengan kualiti dan saiz kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey. Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save