Radioterapi seluruh otak untuk rawatan metastasis otak berganda

Isunya
Sebahagian besar orang yang menghidap kanser akan menerima diagnosis penularan kanser (metastasis) ke otak. Radioterapi biasa digunakan untuk merawat metastasis otak.

Tujuan ulasan
Pengulas melakukan tinjauan ini untuk menentukan keberkesanan dan kesan buruk radioterapi seluruh otak (WBRT) diberikan secara tunggal atau dalam kombinasi dengan rawatan lain kepada orang dewasa dengan metastasis otak berganda.

Apakah penemuan utama?
Ulasan ini menyertakan 54 kajian yang telah diterbitkan melibatkan 11,898 peserta.

Data menunjukkan tiada faedah tambahan yang jelas bagi jadual dos WBRT yang diubahsuai berbanding dengan jadual dos standard.

Penggunaan rawatan yang lain seperti kemoterapi, radiosensitizer, dan agen bersasar molekul bersama dengan WBRT masih belum menunjukkan manfaat.

Radiosurgeri digalakkan dengan WBRT tidak meningkatkan jangka hayat dalam kalangan orang terpilih dengan metastasis otak berganda. WBRT apabila ditambahkan kepada radiosurgeri meningkatkan kawalan otak tempatan dan jauh. Walau bagaimanapun, hasil neurokognitif adalah lebih baik bagi yang terpilih dirawat dengan radiosurgeri sahaja berbanding dengan WBRT dan radiosurgeri.

Bagi individu terpilih dengan kanser paru-paru bukan sel kecil metastasis ke otak, jangka hayat mungkin tidak lebih baik dengan WBRT dan penjagaan sokongan optimum daripada dengan penjagaan sokongan optimum sahaja.

Kualiti bukti
Kajian-kajian memberikan bukti berkeyakinan sederhana ke tinggi.

Apakah kesimpulannya?
Pengubahsuaian skema pemecahan dos WBRT biologi yang lebih tinggi, seperti yang dilaporkan dalam kajian rawak, tidak memberikan manfaat secara keseluruhan untuk jangka hayat, fungsi neurologi, atau kawalan simptom berbanding dengan rawatan standard (3000 cGy dalam 10 pecahan harian, atau 2000 cGy dalam 4 atau 5 pecahan harian). Walau bagaimanapun, jangka hayat secara keseluruhan dan fungsi neurologi adalah lebih buruk bagi skema pemecahan dos WBRT biologi yang lebih rendah daripada jadual dos standard.

Penambahan WBRT kepada radiosurgeri meningkatkan kawalan otak tempatan dan jauh (iaitu ketiadaan lesi intrakranium baru di tempat atau di luar lesi yang dirawat selepas rawatan) dalam kalangan penghidap metastasis otak yang terpilih, tetapi penyelidik melaporkan hasil kognitif yang lebih teruk dan tiada perbezaan dalam jangka hayat keseluruhan.

Orang terpilih dengan metastasis otak berganda dari kanser paru-paru bukan sel kecil mungkin menunjukkan tiada perbezaan dalam jangka hayat keseluruhan apabila penjagaan sokongan optimum diberi dan WBRT ditinggalkan.

Penggunaan rawatan lain (radiosensitizer, kemoterapi, atau agen bersasar molekul) bersama dengan WBRT masih dalam percubaan.

Kajian tambahan diperlukan untuk menilai strategi untuk melindungi penurunan kognitif berkaitan dengan WBRT. Juga, kajian pada masa depan harus menyelidik orang dengan metastasis otak dengan tumpuan terhadap ciri-ciri prognostik dan tumor.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney) Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save