Penghalang reseptor angiotensin untuk rawatan tekanan darah tinggi

Satu kelas ubat yang disebut penghalang reseptor angiotensin (ARBs) biasanya digunakan untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Kelas ini termasuk ubat-ubatan seperti losartan (nama jenama: Cozaar), candesartan (Atacand), eprosartan (Teveten), irbesartan (Avapro), telmisartan (Micardis) dan valsartan (Diovan). Penyelidik bertanya sejauh mana kelas ubat ini menurunkan tekanan darah dan sama ada terdapat perbezaan antara ubat-ubat dalam kelas yang sama. Penulisan saintifik yang sedia ada telah dinilai untuk mencari semua kajian yang telah menilai soalan-soalan ini.

Kami mendapati terdapat 46 kajian yang membahagikan peserta secara rawak untuk mengambil sama ada ARB atau bahan tidal aktif (plasebo). Kajian-kajian menilai keupayaan menurunkan tekanan darah (BP) dalam 9 ARB yang berbeza dalam 13451 peserta kesemuanya. Kajian-kajian mengikuti peserta selama 7 minggu (walaupun orang biasanya dijangka mengambil ubat anti-hipertensi untuk sepanjang hidup mereka). Kesan menurunkan tekanan darah adalah sederhana.  Terdapat pengurangan 8 mata pada nombor atas yang menandakan tekanan sistolik dan pengurangan 5 mata pada nombor yang lebih rendah yang menandakan tekanan diastolik.  Kebanyakan kesan menurunkan tekanan darah (kira-kira 70%) dapat dicapai dengan dos ubat yang disarankan paling rendah.  Tiada ARB lebih baik atau lebih buruk daripada yang lain dari segi keupayaan menurunkan tekanan darah.

Hampir kesemua kajian dalam ulasan ini dibiayai oleh syarikat-syarikat yang membuat ARB dan kesan buruk yang serius tidak dilaporkan oleh penulis daripada setengah kajian ini.  Ini mungkin bermakna syarikat-syarikat ubat menahan penemuan yang tidak baik yang berkaitan dengan ubat mereka.  Disebabkan laporan yang tidak lengkap dari jumlah peserta yang keluar dari kajian akibat tindak balas ubat-ubatan yang buruk, serta jangka pendek dalam kajian ini, ulasan ini tidak dapat memberikan anggaran yang baik terhadap bahaya yang berkaitan dengan kelas ubat ini.  Memberikan ARB yang paling murah dalam dos yang lebih rendah akan menyebabkan penjimatan kos yang tinggi, dan mungkin pengurangan dalam kesan sampingan berkaitan dengan dos. 

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information