Antibiotik untuk mencegah endokarditis bakteria (jangkitan teruk atau keradangan pada lapisan dalam ruang-ruang jantung) dalam bidang pergigian.

Soalan Kajian

Kajian oleh penulis-penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini dihasilkan untuk menentukan sama ada orang yang berisiko untuk endocarditis bakteria, suatu jangkitan atau keradangan lapisan ruang jantung yang teruk, patut mengambil antibiotik secara rutin sebelum sebarang prosedur pergigian untuk mengurangkan insidens endokarditis, bilangan kematian, dan jumlah penyakit serius yang dialami oleh pesakit dalam kumpulan ini.

Latar Belakang

Endokarditis bakteria (EB) adalah penyakit yang jarang. Sepuluh dalam 100,000 orang boleh menghidapinya setiap tahun. Jangkitan sering berlaku kepada bahagian jantung yang cacat atau rosak. Ia dirawat dengan antibiotik. Namun keadaan ini boleh mengancam nyawa dan hampir 30% yang menghidapinya terkorban walaupun diberi rawatan antibiotik.

Ia dikatakan bahawa prosedur pergigian invasif boleh menyebabkan BE kepada orang yang berisiko mendapatkannya. Ia adalah tidak diketahui berapa banyak kes-kes BE (jika ada) adalah disebabkan secara langsung melalui cara ini. Banyak prosedur pergigian menyebabkan bakteremia yang dipercayai membawa kepada endokarditis bakteria (EB) dalam sesetengah orang. Garispanduan di kebanyakan negara mengesyorkan pemberian antibiotik kepada orang berisiko endokarditis sebelum prosedur pergigian invasif. Namun garispanduan Institut untuk Kecemerlangan Penjagaan dan Kesihatan Kebangsaan (NICE - National Institute for Health and Care Excellence) England dan Wales telah mengesyorkan bahawa antibiotik adalah tidak perlu.

Sesetengah pihak mempersoalkan penggunaan antibiotik secara rutin, dengan alasan bahawa pengambilan yang terlalu banyak akan menyebabkan kemunculan banyak ketahanan organisma kepada antibiotik biasa, dan juga bahawa kesan buruk sesekali antibiotik (reaksi alahan yang teruk) boleh melebihi potensi manfaat.

Ciri-ciri kajian

Ulasan sistematik ini berasaskan bukti-bukti penyelidikan sehingga Januari 2013.

Tujuan ulasan sistematik ini adalah untuk menentukan sama ada penggunaan antibiotik pencegahan (profilaktik) berbanding tanpa antibiotik atau plasebo sebelum prosedur pergigian invasif dalam kalangan orang yang berisiko atau berisiko tinggi untuk EB mempengaruhi jumlah kematian, penyakit serius atau insiden endokarditis.

Satu kajian yang membandingkan rawatan bagi orang yang berisiko tinggi untuk EB tetapi tidak mendapat EB disertakan dalam ulasan sistematik ini. Kajian tersebut merupakan pemerhatian kes-kontrol di Belanda yang meneliti maklumat 349 orang yang mendapat EB dalan jangkamasa spesifik dua tahun. Mereka dipadankan kepada kumpulan yang agak sama tetapi tidak menghidap EB. Kesemua yang terlibat dalam kajian ini telah menjalani prosedur pergigian atau perubatan yang invasif. Kedua-dua kumpulan ini dibandingkan dari sudut mereka yang telah menerima antibiotik pencegahan sebelum prosedur dengan mereka yang tidak menerima antibiotik.

Keputusan utama

Adalah tidak jelas sama ada pengambilan antibiotik pencegahan sebelum prosedur pergigian invasif berkesan atau tidak terhadap EB untuk orang yang berisiko.


Tiada kajian yang menilai jumlah kematian, kesan samping serius yang memerlukan kemasukan ke hospital, kesan sampingan lain atau juga implikasi kos rawatan.

Tiada bukti yang menyokong penerbitan garispanduan terdahulu di bidang ini. Adalah tidak jelas sama ada bahaya yang mungkin berlaku dan kos pemberian antibiotik melebihi kesan manfaat. Secara etika, pengamal perlu berbincang dengan pesakit tentang potensi manfaat dan bahaya yang mungkin berlaku sebelum membuat keputusan.

Kualiti bukti

Walaupun faktor luaran yang berkait dengan kajian ini, misalnya pemilihan peserta yang relevan dan parameter adalah jelas, secara keseluruhan bentuk pemerhatian dan sifat retrospektif kajian memberi risiko bias yang besar.

Kesimpulan penulis: 

Masih belum ada bukti sama ada profilaksis antbiotik berkesan atau tidak terhadap endokarditis bakteria dalam kalangan orang berisiko yang akan menjalani prosedur pergigian invasif. Adalah tidak jelas sama ada bahaya yang mungkin berlaku dan kos pemberian antibiotik melebihi sebarang kesan manfaat. Secara etika, pengamal perlu berbincang dengan pesakit tentang potensi manfaat dan bahaya yang mungkin berlaku akibat profilaksis antibiotik sebelum membuat keputusan.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Jangkitan endokarditis adalah satu jangkitan teruk yang berlaku di lapisan jantung dan mempunyai kadar kematian yang tinggi.

Banyak prosedur pergigian menyebabkan bakteremia yang dipercayai membawa kepada endokarditis bakteria (EB) dalam sesetengah orang. Garispanduan di kebanyakan negara mengesyorkan pemberian antibiotik kepada orang berisiko endokarditis sebelum prosedur pergigian invasif. Namun garispanduan Institut untuk Kecemerlangan Penjagaan dan Kesihatan Kebangsaan (NICE - National Institute for Health and Care Excellence) England dan Wales telah mengesyorkan bahawa antibiotik adalah tidak perlu.

Objektif: 

Untuk menentukan sama ada pemberian antibiotik pencegahan berbanding dengan tiada antibiotik atau plasebo sebelum prosedur pergigian invasif dalam kalangan orang yang berisiko atau berisiko tinggi untuk EB mempengaruhi tingkat kematian, penyakit yang serius atau insidens endokarditis.

Strategi carian: 

Pencarian dilakukan dalam Pangkalan data berikut: Daftar Kajian Klinikal Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane (hingga 21 Januari 2013), Daftar Pusat Kajian Klinikal Terkawal Cochrane (CENTRAL) ( Perpustakaan Cochrane 2012, Isu 12), MEDLINE melalui OVID (1946 hingga 21 Januari 2013) dan EMBASE melalui OVID (1980 hingga 21 Januari 2013). Kami juga membuat carian kajian klinikal yang sedang berterusan di Daftar Kajian Klinikal Kesihatan di Institut Kebangsaan Amerika Syarikat (http://clinicaltrials.gov) dan metaDaftar Kajian Klinikal Kontrol (http://www.controlled-trials,com/mrct/). Daftar Kajian Klinikal Rawak Terkawal (http://www.controlled-trials,com/mrct/). Tiada sebarang sekatan bahasa atau tarikh penerbitan dalam membuat carian di pangkalan data elektronik.

Kriteria pemilihan: 

Oleh kerana insiden EB rendah, kami menjangkakan hanya sedikit kajian klinikal dapat dikesan. Dengan itu, kajian kohort dan kes-kontrol dipilih di mana padanan kontrol atau kumpulan perbandingan yang bersesuaian telah dikaji. Intervensi adalah pemberian antibiotik berbanding dengan tiada pemberian antibiotik sebelum prosedur pergigian dalam kalangan orang yang berisiko EB. Kajian kohort perlu menyelidiki individu-individu berisiko dan menilai hasil selepas sebarang prosedur pergigian invasif, dikumpulkan berdasarkan kumpulan yang menerima pencegahan atau tidak. Kajian kes-kontrol yang terpilih perlu membuat padanan orang yang dapat EB (juga yang diketahui berisiko tambahan sebelum menjalani prosedur pergigian invasive terdahulu dari terjadinya EB) dengan orang-orang yang berisiko sama tetapi tidak menghidap endokarditis). Hasil yang hendak diketahui adalah kematian atau kesan sampingan serius yang memerlukan kemasukan hospital; pembentukan endokarditis selepas sebarang prosedur pergigian dalam jangkamasa tertentu; endokarditis atas sebab-sebab lain; sebarang kesan sampingan antibiotik; implikasi kos pemberian antibiotik untuk penjagaan pesakit yang menghidap endokarditis.

Pengumpulan data dan analisis: 

Dua penulis ulasan sistematik secara berasingan memilih kajian untuk dimasukkan dan menilai risiko bias, kemudian penggalian data dari kajian-kajian terpilih.

Keputusan utama: 

Tiada kajian klinikal rawak terkawal, kajian klinikal terkawal atau kajian kohort yang dimasukkan dalam ulasan sistematik ini. Satu kajian kes-kontrol memenuhi kriteria pemilihan. Kajian tersebut mengumpulkan semua kes endokartitis di Belanda sepanjang tempoh dua tahun, melibatkan 24 orang yang menghidap endokarditis dalam masa 180 hari selepas prosedur pergigian invasif yang sepatutnya menerima profilaksis mengikut garispanduan semasa, berisiko tambahan untuk endokarditis kerana masalah jantung sedia ada. Kajian ini juga menyelidiki peserta yang terkorban akibat endokarditis (menggunakan proksi). Kumpulan kawalan dalam kajian ini telah pula hadir di klinik pesakit luar kardiologi untuk masalah jantung yang sama, telah menjalani prosedur pergigian invasif dalam tempoh 180 hari yang lalu dan mereka dipadankan dengan umur kes-kes. Tiada kesan signifikan profilaksis penicillin ke atas insiden endokarditis yang dapat dilihat. Tiada maklumat juga berkaitan hasil lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh: Noorliza Mastura Ismail
(Melaka-Manipal Medical College)
Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save