Kesan rawatan diabetes mellitus jenis 2 terhadap perkembangan kemerosotan kognitif dan demensia

Latar belakang

Demensia adalah satu kebimbangan penjagaan kesihatan global. Diabetes mellitus jenis 2 — satu bentuk diabetes yang menjadi biasa dengan peningkatan usia — meningkatkan risiko mengalami demensia. Diabetes jenis 1, yang biasanya bermula lebih awal dalam kehidupan, sentiasa dirawat dengan insulin; tetapi terdapat pelbagai cara yang berbeza untuk merawat diabetes jenis 2, termasuk perubahan gaya hidup dan ubat yang berbeza. Kami ingin mengetahui sama ada beberapa cara untuk merawat diabetes jenis 2 adalah lebih baik daripada yang lain dari segi mencegah sama ada demensia atau penurunan kognitif yang kurang serius (ingatan dan kemahiran berfikir yang lain).

Apa yang kami lakukan

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal di mana peserta telah dibahagi secara rawak kepada kumpulan rawatan yang berbeza untuk diabetes jenis 2 dan di mana kognitif telah diukur pada permulaan dan akhir kajian klinikal. Kami hanya berminat dengan rawatan untuk diabetes jenis 2 yang disyorkan oleh garis panduan amalan klinikal antarabangsa (CPG). Kami menganalisis data daripada kajian yang ditemui, mencari kesan pada demensia dan kognitif, kadar kematian dan kesan sampingan hipoglisemia, iaitu apabila paras glukosa darah jatuh terlalu rendah dan yang boleh menjadi keputusan daripada rawatan.

Keputusan utama

Kami menemui tujuh kajian rawak yang sesuai untuk disertakan dalam ulasan ini, tetapi kami hanya boleh mendapat data tentang kognitif daripada empat kajian. Daripada jumlah ini, dua kajian yang lebih besar mempunyai sejumlah 13,934 peserta dan membandingkan strategi rawatan standard dengan strategi yang lebih intensif yang bertujuan untuk mengekalkan glukosa darah lebih rendah. Dua kajian yang lebih kecil, yang setiapnya mempunyai kira-kira 150 peserta, membandingkan rawatan ubat yang berbeza, tetapi dalam kedua-dua kajian, salah satu rawatan adalah ubat yang tidak dianggap sesuai untuk pesakit yang lebih tua. Kami tidak menemui bukti yang baik bahawa mana-mana rawatan dalam kajian tersebut jelas lebih baik daripada yang lain untuk mencegah demensia atau penurunan kognitif. Strategi rawatan intensif lebih berkemungkinan menyebabkan hipoglisemia daripada rawatan standard, tetapi tiada perbezaan dalam kadar kematian.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti untuk semua hasil sebagai rendah atau sederhana disebabkan oleh risiko bias dalam kajian yang disertakan, saiz sampel yang kecil, dan anggaran kesan yang tidak tepat. Ini bermakna keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tang Kar Foong. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information