Rehabilitasi paru-paru untuk penyakit paru-paru obstruktif kronik

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah keadaan paru-paru kronik yang menghalang bekalan udara dari masuk ke paru-paru. Gejala-gejalanya termasuklah sesak nafas, batuk, keletihan dan jangkitan dada yang kerap. Di seluruh dunia, COPD adalah punca utama kesihatan buruk.

Program rehabilitasi paru-paru termasuklah senaman sebagai komponen utama; beberapa program mengandungi intervensi lain seperti penilaian, pendidikan, sokongan psikologi dan nasihat pemakanan. Rehabilitasi paru-paru adalah salah satu pendekatan utama yang disyorkan dalam rawatan COPD. Ulasan ini membandingkan kesan rehabilitasi paru-paru berbanding penjagaan biasa terhadap kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan orang dengan COPD. Penyelidik memasukkan 65 kajian yang melibatkan 3822 peserta dalam ulasan ini. Para peserta secara rawak diagihkan untuk menerima samada rehabilitasi paru-paru atau penjagaan biasa. Kualiti kajian pada umumnya adalah baik.

Ulasan ini menekankan bahawa rehabilitasi paru-paru meningkatkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan orang dengan COPD. Keputusannya sangat menyokong untuk memasukkan rehabilitasi paru-paru sebagai sebahagian daripada pengurusan dan rawatan pesakit dengan COPD.

Kajian-kajian masa depan harus menumpukan pada mengenal pasti komponen rehabilitasi paru-paru yang paling penting, tempoh program yang unggul, intensiti latihan yang diperlukan dan tempoh manfaat program terakhir.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting olehTuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information