Profilaksis antibiotik untuk pencegahan jangkitan luka selepas pembedahan pada orang dewasa yang menjalani pembaikan hernia inguinal atau femoral terbuka

Latar belakang

Hernia pangkal paha adalah kelemahan pada dinding perut di kawasan pangkal paha, di mana tisu lembut atau organ dapat menonjol. Hernia pangkal paha sering terjadi dan oleh itu pembaikan hernia pangkal paha adalah salah satu pembedahan yang paling kerap dilakukan di seluruh dunia. Ia dianggap sebagai teknik pembedahan 'bersih' dengan kadar jangkitan luka selepas pembedahan yang rendah dan pemberian antibiotik kepada pesakit yang menjalani pembedahan pembaikan hernia terbuka tidak digalakkan secara umum. Sehingga tahun 1990-an, kaedah memperbaiki hernia berasaskan jahitan (herniorrhaphy) adalah kaedah pilihan. Sejak itu pembaikan hernia dengan jaringan sintetik (hernioplasti) mendapat populariti dan perbahasan mengenai apakah antibiotik diperlukan untuk mencegah jangkitan luka selepas pembedahan berulang lagi.

Penyiasatan

Kami mencari literatur (12 November 2019) untuk kajian rawak terkawal membandingkan antibiotik dengan plasebo untuk mencegah jangkitan luka selepas pembedahan pembaikan hernia pangkal paha. Kami memasukkan kaedah pembedahan berasaskan jahitan dan jenis mesh. Kami membahagikan jangkitan kepada jangkitan luka permukaan dan mendalam. Beberapa kajian menunjukkan kadar jangkitan yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan 5% untuk pembedahan bersih. Oleh itu, kami membahagikan kajian kepada satu kumpulan dengan kadar jangkitan rendah (kurang dari 5%) dan satu dengan kadar jangkitan tinggi (lebih daripada 5%).

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mengenal pasti lima kajian pembedahan berdasarkan jahitan dan 22 kajian pembedahan jenis mesh. Kajian berdasarkan jahitan mempunyai kualiti kaedah yang sangat rendah. Kajian pembedahan jenis mesh mempunyai kualiti kaedah yang rendah hingga sederhana.

Ulasan ini menunjukkan bahawa antibiotik tidak mencegah berlakunya sebarang jenis jangkitan luka setelah pembaikan hernia berdasarkan jahitan. Untuk pembaikan hernia jenis mesh dalam persekitaran jangkitan berisiko rendah, antibiotik mungkin tidak banyak memberi perbezaan dalam mencegah jangkitan luka dangkal selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, dalam persekitaran jangkitan yang mempunyai risiko tinggi, tidak dapat dipastikan sama ada antibiotik mengurangkan risiko terjadinya jangkitan luka permukaan.

Untuk jangkitan luka dalam, kami menunjukkan bahawa antibiotik mungkin membuat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam mengurangkan risiko di persekitaran jangkitan yang mempunyai risiko rendah dan tinggi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti sangat rendah menunjukkan tidak dapat dipastikan sama ada antibiotik mengurangkan risiko jangkitan luka selepas pembaikan hernia berdasarkan jahitan. Kualiti bukti sederhana menunjukkan antibiotik mungkin memberi sedikit atau tidak ada perbezaan dalam mencegah jangkitan luka dangkal atau mendalam setelah pembaikan hernia jenis mesh dalam persekitaran jangkitan yang mempunyai risiko rendah. Kualiti bukti (sangat) rendah menunjukkan antibiotik dapat mengurangkan risiko jangkitan luka permukaan, tetapi bukan jangkitan luka dalam setelah pembaikan hernia jenis mesh dalam persekitaran jangkitan berisiko tinggi.


Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save