Albendazole sahaja atau kombinasi dengan ubat-ubatan microfilaricidal untuk filariasis limfatik

Dalam Ulasan Cochrane ini, para penyelidik Cochrane mengkaji kesan menggunakan albendazole sahaja dan albendazole ditambah kepada ubat antifilaria untuk merawat orang-orang yang dijangkiti dan orang-orang yang tinggal di kawasan dengan filariasis limfatik. Selepas mencari kajian yang relevan hingga Januari 2018, kami memasukkan 13 kajian rawak terkawal (RCT), termasuk satu RCT kluster, dengan sejumlah 8713 peserta.

Filariasis limfatik

Filariasis limfatik, satu penyakit lazim di kawasan tropika dan subtropika, disebarkan oleh nyamuk dan disebabkan jangkitan cacing parasit filaria. Selepas seseorang dijangkiti dari gigitan nyamuk, cacing menjadi dewasa dan mengawan untuk menghasilkan mikrofilaria (mf). Mf beredar di dalam darah supaya boleh dikumpul oleh nyamuk, dan jangkitan boleh disebarkan kepada orang lain. Jangkitan boleh didiagnos dengan memeriksa kehadiran mf (mikrofilaraemia) atau antigen parasit (antigenaemia), atau oleh pengimejan ultrabunyi untuk mengesan cacing dewasa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan rawatan massa seluruh penduduk setahun sekali selama bertahun-tahun. Rawatan adalah kombinasi dua ubat iaitu albendazole dan ubat microfilaricidal (antifilaria), sama ada diethycarbamazine (DEC) atau ivermectin. Albendazole sahaja disyorkan apabila DEC atau ivermectin tidak boleh digunakan.

Apakah yang dinyatakan oleh penyelidikan

Albendazole sahaja atau ditambah kepada ubat microfilaricidal membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada prevalens mf selama dua minggu hingga 12 bulan selepas rawatan (bukti kepastian tinggi), tetapi kita tidak tahu sama ada albendazole sahaja atau dalam kombinasi mengurangkan kepadatan mfdi antara satu hingga enam bulan (bukti kepastian sangat rendah) atau pada 12 bulan (bukti kepastian sangat rendah).

Rawatan dengan albendazol sahaja atau ditambah kepada ubat microfilaricidal membuat sedikit atau tiada perbezaan kepadaprevalen antigenaemia di antara enam hingga 12 bulan (bukti kepastian tinggi). Kami tidak tahu jika albendazole sahaja atau dalam kombinasi mengurangkan kepadatan antigen selama enam hingga 12 bulan (bukti kepastian sangat rendah). Albendazole ditambah kepada ubat microfilaricidal mungkin boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada prevalen cacing dewasa yang dikesan dengan ultrabunyi pada 12 bulan (bukti kepastian rendah).

Apabila diberi secara sendirian atau ditambah kepada ubat microfilaricidal, albendazole membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang melaporkan kesan buruk (bukti kepastian tinggi).

Kesimpulan pengarang

Terdapat bukti yang baik bahawa albendazole sahaja atau ditambah kepada DEC atau ivermectin, memberi sedikit atau tiada manfaat menghapuskan sepenuhnya mf atau cacing dewasa sehingga 12 bulan selepas rawatan. Bukti untuk kesan albendazol dalam mengurangkan bilangan mf dan cacing dewasa adalah tidak konsisten. Untuk memaklumkan dasar bagi kawasan di mana ivermectin dan DEC tidak dapat diberikan, penyelidikan lanjut boleh membantu menentukan sama ada terdapat kesan albendazol sahaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save