Kesan jangkamasa panjang nasihat untuk mengurangkan garam dalam makanan terhadap kematian, penyakit kardiovaskular dan tekanan darah dalam kalangan orang dewasa

Sokongan dan galakan untuk mengurangkan pengambilan garam secara intensif telah berjaya mengurangkan jumlah garam yang dimakan. Sokongan dan galakan yang intensif ini juga menunjukkan penurunan tekanan darah selepas setahun atau lebih, namun penurunannya adalah kecil (lebih kurang 1mmHg untuk tekanan darah sistolik, dan kurang daripada itu untuk tekanan diastolik). Penurunan ini tidak mencukupi untuk memberi manfaat kesihatan. Mengekalkan pemakanan rendah garam juga adalah sukar. Walau bagaimanapun, penurunan tekanan darah adalah lebih ketara bagi mereka yang mempunyai tekanan darah yang lebih tinggi.

Tiada maklumat lengkap untuk menilai kesan pengurangan pengambilan garam terhadap kesihatan mahupun kematian.

Bukti daripada kajian lebih besar dan kecil menunjukkan nasihat untuk mengurangkan pengambilan garam membantu mengekalkan tekanan darah yang rendah selepas pemberhentian pengambilan ubat antihipertensif. Jika hal ini terbukti tanpa ada peningkatan peristiwa kardiovaskular, program pengubahsuaian pemakanan dan tingkahlaku yang komprehensif dalam kalangan pesakit darah tinggi yang memerlukan ubat adalah wajar.

Sila rujuk ulasan Cohrane tentang kajian jangkamasa pendek pengurangan pengambilan garam: Jurgens 2003. Jurgens 2003

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Nor Arifin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wnarifin@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tools
Information
Share/Save