Oxcarbazepine berbanding monoterapi phenytoin (rawatan ubat tunggal) untuk epilepsi

Ini ialah versi kemas kini Ulasan Cochrane yang pertama diterbitkan dalam Isu 2, 2006 dari Ulasan Sistematik Pangkalan Data Cochrane.

Latar belakang

Epilepsi adalah gangguan lazim di mana discaj elektrik abnormal daripada otak menyebabkan sawan berulang. Kami mengkaji dua jenis sawan epileptik di dalam ulasan ini: sawan permulaan umum, di mana discaj elektrik bermula di satu bahagian otak dan bergerak ke seluruh otak; dan sawan permulaan fokal, di mana sawan terhasil di sebahagian otak dan mempengaruhi sebahagian otak (seluruh hemisfera otak atau sebahagian lobus otak). Sawan fokal mungkin menjadi umum (generalisasi sekunder) dan bergerak dari satu bahagian otak ke seluruh otak. Bagi kira-kira 70% orang dengan epilepsi, satu ubat antiepileptik boleh mengawal sawan permulaan umum atau sawan permulaan fokal.

Objektif

Di seluruh dunia, phenytoin adalah ubat antiepileptik yang lazim digunakan dan oxcarbazepine adalah salah satu ubat antiepilepsi generasi baharu. Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan keberkesanan ubat-ubatan ini dalam mengawal sawan, untuk mengetahui jika ubat-ubatan dikaitkan dengan kesan sampingan yang mungkin menyebabkan individu menghentikan ubat, dan membantu orang membuat pilihan ubat-ubatan.

Kaedah-kaedah

Kami menilai bukti daripada tiga kajian (khususnya, kajian rawak terkawal) yang membandingkan oxcarbazepine dengan phenytoin. Kami dapat menggabungkan maklumat bagi 480 orang untuk dua daripada tiga kajian tersebut. Bagi baki 37 orang daripada satu kajian, tiada maklumat tersedia untuk digunakan dalam ulasan ini. Bukti adalah terkini sehingga: 20 April 2018.

Keputusan-keputusan

Ulasan ini mendapati orang yang mengambil oxcarbazepine berhenti mengambil ubat kerana kesan-kesan sampingan lebih lewat secara signifikan berbanding orang yang mengambil phenytoin. Keputusan kami juga menunjukkan orang dengan sawan permulaan fokal yang mengambil phenytoin mungkin berhenti mengambil ubat kerana sebarang alasan lebih awal berbanding orang dengan sawan permulaan fokal yang mengambil oxcarbazepine. Keputusan ini juga mencadangkan orang dengan sawan permulaan fokal yang mengambil oxcarbazepine mungkin mengalami sawan ulangan kemudian, dan mencapai bebas sawan lebih awal berbanding orang dengan sawan permulaan fokal yang mengambil phenytoin. Tiada perbezaan jelas di antara ubat-ubatan dari segi penarikan diri daripada rawatan, sawan ulangan dan sawan remisi bagi individu dengan sawan permulaan umum.

Kualiti bukti

Kedua-dua kajian yang dimasukkan dalam analisis ini direka bentuk dengan baik tetapi tiada maklumat mengenai sawan direkodkan selepas orang berhenti mengambil ubat mereka, yang mungkin memberi impak kepada keputusan kajian.

Kebanyakan orang (70%) yang termasuk dalam kajian-kajian di dalam ulasan ini mempunyai sawan permulaan fokal, oleh itu keputusan-keputusan ini adalah relevan kepada orang dengan jenis epilepsi ini. Sehingga 30% orang dalam kajian-kajian yang digunakan dalam keputusan-keputusan kami mungkin tersalah klasifikasi sebagai sawan umum, yang mungkin juga memberi impak kepada keputusan.

Atas sebab-sebab ini, kami menilai kualiti bukti ulasan ini sebagai berkualiti sederhana bagi orang dengan sawan permulaan fokal, dan berkualiti rendah bagi orang dengan sawan permulaan umum.

Kesimpulan

Bagi orang dengan sawan permulaan fokal, oxcarbazepine mungkin merupakan rawatan pilihan berbanding phenytoin, tetapi lebih banyak maklumat diperlukan bagi orang dengan sawan permulaan umum untuk memilih di antara dua ubat-ubatan ini. Kami mengesyorkan semua kajian masa depan yang membandingkan ubat-ubatan ini, atau mana-mana ubat antiepileptik lain, haruslah direka bentuk menggunakan kaedah yang berkualiti tinggi. Jenis sawan orang-orang yang dimasukkan dalam kajian juga harus diklasifikasi dengan teliti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information