Manfaat dan bahaya antibiotik untuk pencegahan sekunder penyakit jantung koronari

Latar belakang

Penyakit jantung koronari, juga dikenali sebagai penyakit kardiovaskular, adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia dengan anggaran 7.4 juta kematian setiap tahun. Penyakit jantung koronari disebabkan oleh kurang bekalan darah ke jantung. Keterukan penyakit ini adalah antara sakit dada semasa bersenam hingga serangan jantung. Antibiotik mungkin membantu pesakit dengan penyakit jantung koronari dan mengurangkan risiko serangan jantung, strok, sakit dada, prosedur pemvaskularan semula, dan kematian. Walau bagaimanapun, kajian rawak klinikal dan beberapa kajian pemerhatian mencadangkan antibiotik meningkatkan risiko peristiwa kardiovaskular dan kematian.

Soalan ulasan

Tujuan ulasan sistematik Cochrane ini adalah untuk menilai manfaat dan bahaya antibiotik dalam kalangan pesakit dewasa dengan penyakit jantung koronari.

Kami terutamanya menilai manfaat dan bahaya pada susulan maksimum dan yang keduanya pada susulan 24±6 bulan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pelbagai pangkalan data saintifik dari permulaannya hingga Disember 2019 dan menemui 38 kajian di mana orang dengan penyakit jantung koronari ditempatkan secara rawak dalam intervensi antibiotik berbanding plasebo atau tiada intervensi. 38 kajian tersebut menyertakan 26,638 orang dewasa dengan purata usia 61.6 tahun. 23 daripada 38 kajian melaporkan data 26,078 peserta yang boleh dianalisis. Sebilangan besar data disumbangkan oleh kajian-kajian yang menilai kesan-kesan antibiotik makrolida (28 kajian; 22,059 peserta) dan antibiotik quinolone (dua kajian; 4162 peserta), sementara tiada cukup data yang disumbang oleh kajian-kajian yang menilai kesan-kesan antibiotik tetrasiklin (lapan kajian; 417 peserta). Tiga kajian berisiko bias rendah dan kajian selebihnya berisiko bias tinggi.

Keputusan utama dan kesimpulan

Pesakit yang menerima antibiotik (antibiotik makrolida atau antibiotik quinolone) berbanding pesakit yang menerima plasebo atau tiada intervensi didapati berisiko sedikit lebih tinggi untuk kematian semua sebab, kematian akibat jantung, dan mengalami strok pada susulan maksimum. Tanbahan juga, risiko yang sedikit lebih tinggi dilihat apabila menilai kematian dari semua sebab, kematian akibat jantung, dan kematian mengejut akibat jantung pada susulan 24±6 bulan. Tiada kajian melaporkan dengan cukup bilangan peserta dengan peristiwa buruk yang serius. Tiada data tentang kualiti hidup.

Kajian masa depan tentang keselamatan antibiotik makrolida atau antibiotik quinolone untuk pencegahan sekunder dalam kalangan pesakit dewasa dengan penyakit jantung koronari tidak dilihat beretika.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save