Intervensi untuk menggantikan gigi yang hilang: terapi oksigen hiperbarik untuk pesakit tersinar yang memerlukan implan pergigian

Soalan ulasan

Ulasan oleh penulis Kesihatan Oral Cochrane dihasilkan untuk membandingkan kejayaan rawatan implan pergigian yang dibuat di kalangan pesakit yang telah mendapat rawatan sinaran dengan atau tanpa terapi oksigen hiperbarik (HBO).

Latar belakang

Kehilangan gigi boleh mempengaruhi pemakanan dan pertuturan serta paras rupa . Implan pergigian menawarkan satu cara menggantikan gigi yang hilang. Pesakit yang telah menajalani radioterapi dan juga surgeri kanser di bahagian kepala dan leher boleh mendapat manfaat pembentukan semula dengan implan. Implan pergigigan di dalam tulang rahang memberi sokongan untuk penggantian gigi dan bahagian-bahagian mulut (prostesis) yang telah dibuang selepas surgeri kanser atau akibat kerosakan tulang (osteonekrosis) yang disebabkan oleh rawatan sinaran.

Terapi oksigen hiperbarik (yang memerlukan pesakit menyedut oksigen tulen di bawah tekanan beberapa kali dalam kebuk yang direkabentuk khas) telah dianjurkan untuk meningkatkan kejayaan rawatan implan. Terapi HBO dapat meningkatkan penyembuhan tisu dan tulang sekitar implan pergigian dalam kalangan pesakit yang telah menjalani radioterapi, namun ia masih menjadi isu kontroversi.

Ciri-ciri kajian

Bukti ulasan ini adalah terkini sehingga 1 Julai 2013. Satu kajian kecil di dapati yang dijalankan di sebuah klinik kanser kepala dan leher di universiti di Netherlands. Kajian mempunyai 26 pesakit dewasa yang telah dirawat untuk kanser kepala dan leher dengan radioterapi atau kombinasi radioterapi dengan surgeri. Semua peserta telah hilang gigi di rahang bawah dan mengalami masalah mengekalkan dentur. Peserta di bahagi kepada dua kumpulan, 13 dirawat dengan HBO dan 13 lagi tanpa HBO.

Keputusan utama

Ia hanyalah satu kajian kecil yang membandingkan rawatan dengan HBO dan tanpa HBO yang berisiko bias tinggi. Keputusan tidak dapat menentukan manfaat terapi HBO dalam mencegah kegagalan implan pergigian atau komplikasi serius lain seperti kerosakan tulang akibat rawatan radioterapi. Lebih banyak kajian bermutu diperlukan untuk memberi jawapan pasti kepada persoalan ini.

Kualiti bukti kajian

Bukti adalah berkualiti rendah kerana ia hanya berdasarkan atas satu kajian kecil yang berisiko bias tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College) Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB) Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini,sila hubungi coccrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information