Tempoh optimum penyusuan eksklusif

Penyusuan eksklusif selama enam bulan (berbanding tiga hingga empat bulan diikuti dengan penyusuan campuran) mengurangkan jangkitan usus perut dan membantu ibu menurunkan berat badan dan mencegah kehamilan tetapi tidak mempunyai kesan jangka panjang terhadap penyakit alahan, pertumbuhan, obesiti, kebolehan kognitif atau tingkah laku.

Keputusan daripada dua kajian terkawal dan 21 kajian lain menunjukkan bahawa penyusuan eksklusif (tiada pepejal atau cecair selain susu ibu, selain daripada vitamin dan ubat-ubatan) selama enam bulan mempunyai beberapa kelebihan berbanding penyusuan eksklusif untuk tiga hingga empat bulan diikuti dengan penyusuan campuran. Antara kelebihannya adalah risiko yang lebih rendah terhadap jangkitan usus perut, penurunan berat badan ibu yang lebih cepat selepas bersalin dan lewat didatangi haid. Pengurangan risiko terhadap jangkitan lain, penyakit alahan, obesiti, kerosakan gigi, masalah kognitif atau tingkah laku tidak dapat dibuktikan. Tahap kandungan zat besi yang lebih rendah telah dilihat di negara membangun.

Kesimpulan penulis: 

Bayi yang diberi susu ibu secara eksklusif selama enam bulan kurang mengalami jangkitan usus perut berbanding mereka yang diberi susu secara campuran selama tiga atau empat bulan dan tiada kerencatan pertumbuhan didapati bagi bayi yang menerima penyusuan eksklusif selama enam bulan atau lebih di negara membangun mahu pun negara maju. Tambahan pula, penyusuan menyebabkan ibu-ibu bayi tersebut lewat didatangi haid. Walau pun bayi masih perlu dirawat mengikut keperluan individu agar pertumbuhan atau kesan sampingan tidak terabai dan intevensi yang sewajarnya disediakan, bukti sedia ada menunjukkan tiada risiko yang jelas dalam mengesyorkan polisi penyusuan eksklusif selama enam bulan pertama di negara membangun dan negara maju.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Walaupun faedah penyusuan terhadap kesihatan telah diakui secara meluas, pendapat dan cadangan mengenai tempoh optimum penyusuan eksklusif masih diragui. Sejak tahun 2001, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan penyusuan eksklusif selama enam bulan. Baru-baru ini, banyak perdebatan tertumpu pada keperluan mikronutrien, kewujudan dan kekuatan faedah kesihatan terhadap amalan tersebut di negara maju.

Objektif: 

Untuk menilai kesan penyusuan eksklusif selama enam bulan berbanding penyusuan eksklusif untuk tiga hingga empat bulan diikuti dengan penyusuan campuran (pengenalan cecair pelengkap atau makanan pepejal beserta susu ibu) sehingga enam bulan terhadap kesihatan, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan kesihatan ibu.

Strategi pencarian: 

Kami mencari dalam <I> Perpustakaan Cochrane </ I> (2011, Keluaran 6), MEDLINE (1 Januari 2007 hingga 14 Jun 2011), EMBASE (1 Januari 2007 hingga 14 Jun 2011), CINAHL (1 Januari 2007 hingga 14 Jun 2011 ), BIOSIS (1 Januari 2007 hingga 14 Jun 2011), Indeks Afrika Medicus (carian 15 Jun 2011), Indeks Medicus untuk WHO Timur Wilayah Mediterranean (IMEMR) (carian 15 Jun 2011), LILACS (Sains Kesihatan Amerika Latin dan Caribbean) (carian 15 Jun 2011). Kami juga menghubungi pakar-pakar dalam bidang ini.

Untuk ulasan sistematik versi pertama, carian pada tahun 2000 telah menghasilkan sejumlah 2668 petikan asli. Komunikasi dengan pakar-pakar dalam bidang ini telah menambah bilangan kajian yang diterbitkan dan tidak diterbitkan. Kemaskini kajian literatur pada Disember 2006 telah menghasilkan tambahan sebanyak 835 petikan asli.

Kriteria pemilihan: 

Kami memilih semua kajian klinikal terkawal dan kajian pengamatan ke atas kesihatan kanak-kanak atau ibu yang membandingkan penyusuan eksklusif selama enam bulan atau lebih dengan penyusuan eksklusif sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan diikuti dengan penyusuan campuran sehingga sekurang-kurangnya enam bulan. Kajian dibahagikan mengikut reka bentuk kajian (kajian terkawal berbanding kajian pengamatan), asal (negara membangun berbanding negara maju) dan tempoh penyusuan (tiga hingga tujuh bulan berbanding seterusnya).

Pengumpulan data dan analisis: 

Kami menilai secara berasingan kualiti kajian dan data yang diekstrak.

Keputusan utama: 

Kami telah mengenalpasti 23 kajian berbeza yang memenuhi kriteria pemilihan: 11 dari negara membangun (dua daripadanya adalah kajian terkawal di Honduras) dan 12 dari negara maju (semuanya kajian pengamatan). Definisi penyusuan eksklusif adalah berbeza-beza dalam setiap kajian. Kajian terkawal dan kajian pengamatan mendapati bahawa bayi yang diberi susu ibu sepenuhnya selama enam bulan tidak menunjukkan penurunan berat badan atau terbantutnya pertambahan panjang. Walau bagaimana pun, saiz sampel yang lebih besar diperlukan untuk menidakkan perbezaan kecil risiko kekurangan zat makanan. Di negara membangun, yang mana kandungan zat besi bagi bayi yang baru lahir mungkin suboptimal, penyusuan eksklusif selama enam bulan tanpa suplemen zat besi terbukti menjejaskan status kandungan darah. Berdasarkan kajian Belarus, penyusuan eksklusif selama enam bulan tidak memberi sebarang kesan (berbanding penyusuan eksklusif selama tiga bulan diikuti penyusuan campuran sehingga enam bulan) pada tinggi, berat, indeks jisim badan, karies gigi, kebolehan kognitif atau tingkah laku pada umur 6.5 tahun. Bagaimana pun, berdasarkan kajian di Belarus, Iran dan Nigeria, bayi yang menyusu eksklusif selama enam bulan atau lebih mempunyai risiko jangkitan usus perut dan (kajian di Iran dan Nigeria) jangkitan pernafasan yang lebih rendah. Tiada pengurangan ketara dalam risiko ekzema atopik, asma atau atopik lainnya dalam kajian di Finland, Australia dan Belarus. Data daripada dua kajian Honduras dan kajian pengamatan di Bangladesh dan Senegal mencadangkan bahawa penyusuan eksklusif selama enam bulan berkaitan dengan kelewatan datang haid manakala dalam kajian Honduras, berkaitan dengan penurunan berat badan ibu yang lebih cepat selepas bersalin.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save