Terapi-terapi psikologi untuk penyakit stres pascatrauma (PTSD) kronik dalam orang dewasa

Latar belakang: Penyakit stres pascatrauma (PTSD) boleh berlaku berikutan satu peristiwa traumatik. Ciri-cirinya adalah mengalami semula trauma itu (dalam bentuk mimpi buruk, imbasan dan pemikiran yang menyedihkan), mengelakkan mengingat peristiwa traumatik tersebut, perubahan negatif dalam fikiran dan perasaan, dan gejala hyper-rangsangan (rasa kegelisahan, mudah terkejut, rasa marah, menghadapi masalah tidur, dan masalah menumpukan perhatian).

Ulasan-ulasan sebelum ini telah menyokong penggunaan terapi trauma berfokuskan kognitif tingkah laku (TFCBT) individu dan pergerakan mata penyahpekaan dan pemprosesan semula (EMDR) dalam rawatan PTSD. TFCBT adalah satu variasi terapi tingkah laku kognitif (CBT), yang termasuk beberapa teknik untuk membantu seseorang mengatasi sesuatu peristiwa traumatik. Ia adalah gabungan terapi kognitif yang bertujuan untuk mengubah cara seseorang berfikir, dan terapi tingkah laku, yang bertujuan untuk mengubah cara seseorang bertindak. TFCBT membantu individu menerima hakikat sesuatu trauma melalui pendedahan kepada kenangan peristiwa tersebut. EMDR adalah satu terapi psikologi, yang bertujuan untuk membantu seseorang memproses semula kenangan mereka tentang sesuatu peristiwa traumatik. Terapi ini melibatkan permikiran tentang imej menyedihkan berkaitan trauma, kepercayaan, dan sensasi badan, manakala pakar terapi membimbing pergerakan mata dari sisi ke sisi. Pandangan yang lebih positif tentang kenangan trauma dikenal pasti, dengan tujuan untuk menggantikan pandangan tentang kenangan yang menyebabkan masalah.

TFCBT dan EMDR sedang dicadangkan sebagai rawatan pilihan mengikut garis panduan seperti yang diterbitkan oleh Institut United Kingdom Kesihatan dan Kecemerlangan Klinikal (NICE).

Ciri-ciri kajian ini: Kajian ini mengumpulkan keterangan terkini daripada 70 kajian, termasuk sejumlah 4761 orang.

Penemuan utama: Terdapat sokongan berterusan untuk keberkesanan TFCBT individu, EMDR, bukan-TFCBT dan kumpulan TFCBT dalam rawatan PTSD kronik dalam kalangan orang dewasa. Terapi psikologi lain yang bukan berfokuskan trauma tidak mengurangkan gejala PTSD dengan ketara. Terdapat bukti bahawa TFCBT individu, EMDR dan bukan-TFCBT sama-sama berkesan dengan serta-merta selepas rawatan PTSD. Terdapat beberapa bukti bahawa TFCBT dan EMDR lebih unggul dari yang bukan-TFCBT antara satu hingga empat bulan selepas rawatan, dan juga bahawa TFCBT individu, EMDR dan bukan-TFCBT adalah lebih berkesan daripada terapi lain. Tiada percanggahan dengan kepentingan khusus yang telah dikenal pasti.

Kualiti-kualiti bukti: Walaupun kita melibatkan sebilangan besar kajian dalam kajian ini, kajian hanya melibatkan bilangan orang yang kecil dan ada kajian yang direka tidak cukup baik. Kami menilaikan kualiti keseluruhan kajian sebagai kualiti yang sangat rendah dan sebagainya hasil kajian ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati. Tidak dapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan sama ada atau tidak terapi psikologi adalah berbahaya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Wai Kay (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi wk_wong@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save