Memerhati orang dengan TB secara langsung mengambil ubat mereka untuk membantu mereka melengkapkan rawatan

Ulasan Cochrane ini meringkaskan kajian-kajian yang menilai kesan-kesan terapi permerhatian langsung (DOT) untuk merawat orang dengan tuberkulosis (TB) atau profilaksis untuk mencegah penyakit aktif berbanding rawatan swaguna. Selepas mencari kajian-kajian yang relevan sehingga 13 Januari 2015, kami telah memasukkan 11 kajian rawak terkawal yang mendaftarkan 5662 orang dengan TB, dan dijalankan antara 1995 dan 2008.

Apakah DOT dan bagaimana ia dapat memperbaiki hasil rawatan untuk orang dengan TB

DOT adalah satu strategi untuk memastikan pesakit TB mengambil semua ubat mereka. Seorang 'pemerhati' yang diterima oleh pesakit dan sistem kesihatan memerhatikan pesakit mengambil setiap dos ubat mereka, dan merekodnya untuk sistem pemantauan kesihatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada masa ini mengesyorkan orang dengan TB dirawat selama sekurang-kurangnya enam bulan untuk sembuh. Masa rawatan yang panjang ini boleh menjadi sukar bagi pesakit untuk melengkapkannya, terutamanya apabila mereka merasa sihat dan perlu kembali bekerja. Kegagalan untuk melengkapkan rawatan boleh menyebabkan relaps bahkan kematian individu, dan juga mempunyai akibat kesihatan umum yang penting, seperti peningkatan transmisi TB dan pembangunan rintangan ubat.

Apakah yang dinyatakan oleh penyelidikan

Secara keseluruhan, penyembuhan dan melengkapkan rawatan dalam kedua-dua kumpulan rawat sendiri dan DOT adalah rendah, dan DOT tidak memperbaikinya dengan ketara. Kesan-kesan kecil dilihat di dalam subkumpulan kajian di mana kumpulan rawat sendiri dipantau kurang kerap berbanding kumpulan DOT.

Mungkin tiada perbezaan dalam penyembuhan TB atau melengkapkan rawatan apabila pemerhatian langsung dijalankan di rumah atau di klinik (bukti berkualiti sederhana) Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan dalam penyembuhan TB secara pemerhatian langsung oleh pekerja kesihatan komuniti atau ahli keluarga (bukti berkualiti sederhana) dan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam melengkapkan rawatan (bukti berkualiti rendah).

Pemerhatian langsung mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap melengkapkan rawatan dalam kalangan pengguna ubat suntikan (bukti berkualiti rendah).

Para pengarang menyimpulkan bahawa DOT tidak mungkin menawarkan penyelesaian kepada kepatuhan yang kurang baik dalam kalangan orang yang mengambil ubat TB.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save