Langkau ke kandungan utama

Ubat yang meningkatkan kewaspadaan (psikostimulan) untuk mengantuk siang hari yang berlebihan (hipersomnia) dalam distrofi miotonik

Mesej utama

• Kesan ubat-ubatan yang meningkatkan kewaspadaan (psikostimulan) pada mengantuk siang hari yang berlebihan (hipersomnia) seperti yang dinilai oleh kajian tidur objektif adalah sangat tidak pasti.

• Psikostimulan mungkin meningkatkan hipersomnia seperti yang dinilai sendiri oleh pesakit.

• Lebih banyak kajian yang melihat keberkesanan dan keselamatan psikostimulan untuk distrofi miotonik dalam jangka pendek dan panjang diperlukan.

Apakah hipersomnia dalam distrofi miotonik?

Distrofi miotonik adalah distrofi otot yang diwarisi yang menyebabkan kelemahan dan pembuangan otot. Mengantuk siang hari yang berlebihan (hipersomnia) adalah aduan yang kerap berlaku bagi orang dengan distrofi miotonik dan berkaitan dengan masalah mengawal pernafasan.

Bagaimanakah hipersomnia dalam distrofi miotonik dapat dirawat?

Psikostimulan adalah ubat-ubatan yang meningkatkan kewaspadaan dan termasuk kafein, amfetamina, selegiline, methylphenidate, dan modafinil.

Apakah yang ingin kami temui?

Kami ingin mengetahui sama ada psikostimulan lebih baik daripada plasebo (rawatan ‘dummy’) atau tiada rawatan dalam merawat hipersomnia dalam distrofi miotonik.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang melihat kepada psikostimulan berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan pada kanak-kanak dan orang dewasa dengan distrofi miotonik dan hipersomnia. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami mendapati enam kajian yang menilai keberkesanan dan keselamatan psikostimulan dalam distrofi miotonik. Kesan psikostimulan pada hipersomnia seperti yang dinilai oleh kajian tidur objektif dan kualiti hidup adalah sangat tidak pasti. Psikostimulan boleh meningkatkan hipersomnia seperti yang dinilai sendiri oleh pesakit dan boleh meningkatkan risiko kesan yang tidak diingini. Kajian lanjut yang melihat keberkesanan dan keselamatan psikostimulan untuk distrofi miotonik adalah diperlukan.

Apakah batasan bukti?

Kajian yang disertakan melibatkan antara 11 dan 40 orang, dan hanya orang dewasa. Tiada kajian menilai rawatan melebihi empat minggu.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti ini adalah terkini sehingga Januari 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Annane D, Laberge L, Gallais B, Chevret S. Psychostimulants for hypersomnia (excessive daytime sleepiness) in myotonic dystrophy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD003218. DOI: 10.1002/14651858.CD003218.pub3.