Adrenalin dan vasopressin untuk jantung terhenti

Soalan ulasan

Adakah ubat adrenalin atau vasopressin memperbaiki survival jantung terhenti.

Latar belakang

Jantung terhenti berlaku apabila denyutan jantung seseorang tiba-tiba berhenti. Tanpa sebarang rawatan, kematian berlaku dalam beberapa minit. Rawatan yang terbukti berkesan bagi jantung terhenti termasuklah resusitasi kardiopulmonari dan memberikan kejutan elektrik (defibrilasi). Jika rawatan-rawatan ini tidak berkesan, ubat-ubatan seperti adrenalin dan vasopressin disuntik (biasanya ke dalam vena) untuk cuba memula semula jantung. Bukti saintifik awal yang membawa kepada penggunaannya muncul sebahagian besarnya daripada kajian kecil di dalam haiwan. Walaupun beberapa kajian manusia menunjukkan ubat-ubatan ini boleh membantu memulakan semula jantung pada awalnya, penyelidikan juga menunjukkan ia mungkin mempunyai kesan bahaya kepada otak.

Tarikh carian

Carian terakhir telah dijalankan pada 8 Mei 2018.

Ciri-ciri Kajian

Kami mengenal pasti 26 kajian rawak terkawal melibatkan 21,704 peserta, yang menilai kesan adrenalin atau vasopressin untuk survival selepas jantung terhenti yang berlaku di dalam dan di luar hospital dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak. Sesetengah kajian membandingkan adrenalin dalam dos standard dengan plasebo (ubat palsu); Sesetengah kajian memeriksa dos standard berbanding dos adrenalin tinggi; dan yang lain berbanding vasopressin sahaja atau vasopressin ditambah adrenalin untuk dos standard adrenalin.

Sumber pembiayaan kajian

Sumber pembiayaan tidak dinyatakan dalam 11 dari 26 kajian. Ubat kajian disediakan oleh pengeluar di dalam empat daripada 26 kajian, tetapi ubat-ubaqt tersebut tidak mewakili pilihan komersial yang menguntungkan. 11 kajian lain dibiayai oleh organisasi seperti yayasan penyelidikan dan badan pembiayaan kerajaan.

Keputusan utama

Kajian-kajian mendapati bukti adrenalin berkesan memulakan semula jantung dan membantu orang pulih untuk pulang ke rumah dari hospital. Walau bagaimanapun, tiada bukti mana-mana ubat memperbaiki survival dengan hasil neurologi yang baik.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah di antara rendah hingga sederhana (untuk kajian membandingkan adrenalin dengan plasebo), tetapi terutamanya rendah atau sangat rendah untuk perbandingan lain, disebabkan oleh risiko bias dalam kajian-kajian. Kebanyakan kajian-kajian dijalankan lebih daripada 20 tahun yang lalu. Rawatan telah berubah dalam tahun-tahun kebelakangan ini, jadi penemuan-penemuan dari kajian-kajian yang lebih lama mungkin tidak mencerminkan amalan semasa. Kajian menilai ubat-ubatan dalam pelbagai situasi (di dalam dan di luar hospital, pada dos yang berbeza, dan dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak), yang mungkin membuat gabungan penemuan mengelirukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information