Statin untuk pencegahan demensia

Latar belakang

Demensia (termasuk penyakit Alzheimer) adalah kebimbangan penjagaan kesihatan global; bilangan orang yang terjejas di seluruh dunia diramalkan berganda setiap 20 tahun dan mencecah 74.7 juta pada 2010 dan 131.5 juta pada 2050. Oleh itu, adalah penting untuk mencari langkah untuk mencegah demensia. Adalah dicadangkan bahawa paras kolesterol yang tinggi dalam serum (sebahagian daripada darah) boleh meningkatkan risiko demensia dan rawatan dengan ubat yang menurunkan kolesterol seperti statin boleh mengurangkan risiko demensia.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang membandingkan pemberian statin dengan pemberian plasebo (ubat yang tidak aktif) kepada orang yang mempunyai fungsi kognitif biasa (iaitu aktiviti otak yang membolehkan kita memperoleh dan menggunakan ilmu) dan berada pada umur untuk berisiko menghidap penyakit Alzheimer.

Hasil utama

Kami menemui dua kajian rawak yang sesuai untuk disertakan dalam ulasan ini dengan 26,340 peserta; kedua-dua kajian tidak menunjukkan sebarang pengurangan kejadian penyakit Alzheimer atau demensia pada orang yang dirawat dengan statin berbanding orang yang diberi plasebo. Kesan sampingan adalah rendah dalam kedua-dua kumpulan statin dan plasebo tanpa perbezaan antara kumpulan dalam risiko tercicir daripada kajian percubaan akibat kesan sampingan.

Kualiti bukti

Terdapat batasan dalam kajian yang disertakan yang melibatkan kaedah penilaian kognisi dan penyertaan hanya peserta yang dianggap berisiko sederhana hingga tinggi untuk masalah dengan sistem darah (vaskular) mereka. Walau bagaimanapun, terdapat bukti yang baik bahawa statin yang diberikan pada akhir hayat kepada orang yang mempunyai risiko penyakit vaskular tidak menghalang kemerosotan kognitif atau demensia.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Ministry of Health Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information