Transfusi darah untuk orang dengan penyakit sel sabit sebelum mereka menjalani pembedahan

Soalan ulasan

Kami ingin tentukan jika transfusi darah yang diberi kepada orang dengan penyakit sel sabit sebelum pembedahan rutin atau kecemasan mencegah komplikasi akibat penyakit sel sabit atau pembedahan tanpa menyebabkan sebarang kesan-kesan sampingan yang serius. Kami juga ingin tentukan jika sebarang jenis regimen transfusi tertentu lebih baik untuk orang dengan penyakit sel sabit yang menjalani pembedahan. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane terbitan terdahulu.

Latar belakang

Penyakit sel sabit ialah gangguan darah yang diwarisi di mana sel darah merah, yang membawa oksigen ke seluruh badan, terbentuk secara abnormal. Gangguan tersebut mempengaruhi orang yang berasal dari Afrika, Caribbean, Timur Tengah, Mediterranean Timur dan Asia.

Sel darah merah yang normal adalah fleksibel dan berbentuk cakera, tetapi dalam penyakit sel sabit ia boleh menjadi keras dan berbentuk sabit. Sel sabit bukan sahaja kurang fleksibel daripada sel darah merah yang sihat, ia juga lebih melekit. Ini boleh membuat saluran darah tersumbat, menyebabkan kerosakan tisu dan organ dan episod sakit yang teruk. Sel darah yang abnormal adalah lebih rapuh dan mudah pecah, yang menyebabkan kekurangan sel darah merah, dikenali sebagai anemia.

Orang dengan penyakit sel sabit lebih cenderung memerlukan pembedahan berbanding populasi umum kerana komplikasi akibat penyakit sel sabit, seperti batu hempedu, jangkitan, dan masalah sendi. Walau bagaimanapun, pembedahan boleh menyebabkan komplikasi berkaitan sel sabit.

Transfusi darah sebelum pembedahan dapat membantu mencegah komplikasi dengan mengurangkan tahap anemia, mencairkan sel darah merah sabit, dan meningkatkan tahap oksigen dalam darah. Ini mungkin mengurangkan risiko saluran darah tersumbat menyebabkan kerosakan lanjutan.

Terdapat pelbagai jenis transfusi darah. Tujuan utama regimen transfusi yang agresif adalah untuk mengurangkan bilangan sel sabit di dalam darah di bawah paras tertentu (biasanya sel sabit dikeluarkan dan sel merah penderma diberi (transfusi pertukaran)), ia juga mengurangkan tahap anemia. Tujuan utama regimen transfusi konservatif adalah untuk mengurangkan tahap anemia, ia juga mengurangkan peratusan sel sabit dalam darah (kesan pencairan) tetapi tiada sel sabit dikeluarkan. Regimen transfusi yang agresif mengurangkan peratusan sel sabit dalam darah ke tahap yang lebih rendah daripada regimen transfusi konservatif.

Transfusi darah boleh dikaitkan dengan kesan buruk seperti: pembentukan antibodi terhadap protein pada sel merah penderma (‘alloimunisation’); pengumpulan terlalu banyak ferum dalam badan akibat ransfusi berulang; peningkatan kadar jangkitan selepas pembedahan; dan pemanjangan tempoh inap di hospital. Sesetengah jenis pembedahan mungkin tidak memerlukan transfusi darah.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari literatur perubatan sehingga 28 Januari 2020. Kami menyertakan tiga kajian dengan 990 orang dalam ulasan ini. Satu kajian membandingkan transfusi agresif dengan transfusi konservatif. Dua kajian membandingkan transfusi agresif atau konservatif sebelum pembedahan dengan tiada transfusi. Kebanyakan orang di dalam kajian mempunyai satu bentuk penyakit sel sabit (HbSS). Kebanyakan pembedahan adalah dianggap berisiko rendah atau pertengahan untuk menyebabkan komplikasi berkaitan sel sabit.

Dua daripada tiga kajian menerima pembiayaan kerajaan, kajian ketiga tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Tiada perbezaan di antara memberi transfusi darah sebelum pembedahan untuk mengurangkan bilangan sel sabit di bawah tahap rendah tertentu (regimen transfusi agresif) dan memberi transfusi darah untuk meningkatkan bilangan sel merah di dalam darah (regimen transfusi konservatif) dalam mencegah komplikasi pembedahan atau berkaitan sel sabit sejurus selepas pembedahan.

Memberi transfusi darah sebelum pembedahan dapat mencegah masalah paru-paru berkaitan sel sabit. Satu kajian dihentikan awal kerana lebih ramaia orang mengalami masalah paru-paru berkaitan sel sabit dalam lengan tiada transfusi; tetapi, kajian yang satu lagi tidak menunjukkan perbezaan. Tiada perbezaan di antara memberi transfusi darah sebelum pembedahan berbanding tidak memberi transfusi darah sebelum pembedahan dalam mencegah sebarang komplikasi berkaitan sel sabit atau pembedahan lain sejurus selepas pembedahan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti dinilai sebagai sangat rendah untuk hasil ulasan ini kerana kajian-kajian berisiko bias tinggi dan bilangan kajian dan bilangan peserta yang kecil di dalam kajian-kajian tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information