Pengapan pit dan fisur berbanding varnis fluorida untuk mencegah kerosakan gigi kekal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Soalan sorotan

Sorotan ini bertujuan untuk menilai sama ada bahan pengap pergigian (atau bahan pengap bersama varnis fluorida) atau varnis fluorida adalah lebih berkesan untuk mengurangkan kerosakan gigi di permukaan kunyahan gigi kekal belakang dalam kalangan orang muda.

Latarbelakang

Walaupun kanak-kanak dan remaja mempunyai gigi yang lebih sihat pada masa kini berbanding masa lalu, kerosakan gigi masih menjadi masalah dalam kalangan sesetengah individu dan populasi, dan ia melibatkan ramai orang di seluruh dunia. Kebanyakan kerosakan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja tertumpu kepada permukaan kunyahan gigi kekal belakang. Pilihan rawatan pencegahan bagi kerosakan gigi termasuklah memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida, penggunaan suplemen fluorida (misalnya tablet fluorida) dan aplikasi bahan pengap pergigian dan fluorida topikal di klinik-klinik pergigian.

Bahan pengap pergigian diaplikasi untuk membentuk halangan yang mencegah pertumbuhan bakteria dan pengumpulan partikel makanan di dalam alur gigi belakang.Terdapat beberapa bahan pengap: Jenis utama yang diguna adalah bahan berasaskan resin dan simen ionomer kaca. Varnis fluorida adalah pes melekit yang diaplikasi secara profesional kepada gigi dua hingga empat kali setahun.

Pemilihan kajian

Penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane menjalankan sorotan kajian-kajian sedia ada dan bukti adalah terkini sehingga 18 Disember 2015. Ulasan ini adalah kemaskini terbitan pertama tahun 2006 dan telah dikemaskini pada tahun 2010.

Ciri kajian

Sorotan ini memasukkan lapan kajian yang diterbitkan dari tahun 1984 sehingga 2014, yang melibatkan 1746 peserta yang dipilih secara rawak (1127 dimasukkan dalam analisis) untuk menerima bahan pengap pergigian (atau bahan pengap bersama dengan varnis fluorida) atau aplikasi varnis fluorida, dan keterukan kerosakan gigi dibandingkan. Peserta adalah berumur 5 hingga 10 tahun pada permulaan kajian dan mewakili populasi umum.

Keputusan utama

Terdapat bukti yang mencadangkan aplikasi bahan pengap berasaskan resin kepada permukaan kunyahan gigi kekal belakang dalam kalangan kanak-kanak dapat mengurangkan kerosakan gigi kekal kanak-kanak sebanyak 3.7% dalam tempoh dua tahun, dan 29% dalam tempoh sembilan tahun berbanding aplikasi varnis fluorida. Mengaplikasi bahan pengap berasaskan resin bersama dengan varnis fluorida ke atas permukaan kunyahan gigi kekal belakang boleh mengurangkan kerosakan gigi sebanyak 14.4% bagi tempoh dua tahun berbanding dengan varnis fluorida sahaja. Kesan aplikasi bahan pengap ionomer kaca mungkin kelihatan sama jika dibanding dengan aplikasi varnis fluorida, namun bukti yang menunjukkan kesamaan di antara kedua-dua intervensi adalah berkualiti rendah. Tiga kajian melaporkan tiada kaitan kejadian buruk dari aplikasi bahan pengap atau varnis fluorida; kajian-kajian lain tidak menyebut sebarang kesan buruk.

Kualiti bukti

Bukti sedia ada adalah rendah hingga sangat rendah kerana bilangan kecil kajian yang dimasukkan, dan beberapa masalah dalam cara kajian dijalankan. Tambahan pula, kebanyakan kajian melaporkan tempoh susulan yang agak singkat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipa). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save