Pengapan pit dan fisur berbanding varnis fluorida untuk mencegah kerosakan gigi kekal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja?

Mengapa soalan ini penting?

Kerosakan gigi (juga disebut kaviti atau karies) adalah apabila lubang kecil terbentuk pada gigi. Ini berlaku kerana bakteria (organisma hidup yang kecil) yang hidup dalam mulut memakan gula dalam makanan yang kita makan. Sambil makan, bakteria menghasilkan asid yang menyerang gigi. JIka gigi tidak dibersihkan dengan berkala selepas makan, atau jika seseorang memakan banyak makanan dan minuman bergula, serangan asid berulang menimbulkan lubang di permukaan luar gigi yang keras (enamel). Jika tidak dirawat, lubang-lubang ini merebak dan merosakkan lapisan di bawah permukaan (dentin).

Ramai orang di seluruh dunia mengalami kerosakan gigi pada suatu ketika dalam hidup mereka. Dalam kalangan kebanyakan remaja dan kanak-kanak berusia lebih enam tahun, kerosakan memusnahkan permukaan kunyah gigi kekal di bahagian belakang mulut.

Untuk mengelakkan kerosakan, doktor gigi boleh mengaplikasi sealan gigi, atau varnis fluorida, terus pada gigi belakang. Sealan gigi adalah lapisan yang diperbuat daripada bahan pelekat seperti resin atau ionomer kaca, yang diaplikasi oleh doktor gigi satu kali pada gigi. Ia menutup alur pada gigi yang cenderung mengumpul makanan, dan melindunginya dari asid. Sebagai perbandingan, varnis fluorida adalah pes melekit yang mengandungi paras fluorida yang tinggi; fluorida adalah mineral semula jadi dalam gigi yang melindungi gigi daripada rosak. Varnis fluorida perlu disapu pada gigi oleh doktor gigi dua hingga empat kali setahun.

Kami mengulas bukti dari kajian penyelidikan untuk mengetahui sama ada sealan atau varnis fluorida, atau gabungannya, lebih baik untuk mencegah kerosakan gigi belakang kekal kanak-kanak dan remaja.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), kerana kajian-kajian ini memberi bukti yang paling kukuh tentang kesan rawatan. Kami kemudiannya membandingkan hasil-hasilnya, dan merumuskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti tersebut. Untuk melakukan ini, kami mempertimbang faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategorikan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati 11 kajian melibatkan 3374 kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun pada permulaan kajian. Kanak-kanak diberi rawatan secara rawak dengan sealan atau varnis fluorida, atau kedua-duanya. Mereka disusul selama antara satu hingga sembilan tahun. Kajian membandingkan bilangan kanak-kanak yang mengalami kerosakan dentin pada gigi belakang mereka dalam kumpulan-kumpulan rawatan yang berbeza.

Kepastian bukti sangat rendah sehingga kami tidak yakin dengan penemuannya.

Apabila kami menggabung empat kajian yang membandingkan sealan resin dengan varnis fluorida, kami mendapati intervensi tersebut tidak berfungsi lebih baik berbanding yang lain.

Ketiga-tiga kajian individu yang membandingkan sealan ionomer kaca dengan varnis fluorida tidak dapat digabung dan memberi keputusan yang bercampur-campur.

Satu kajian kecil mendapati penggunaan kedua-dua sealan dan varnis fluorida mungkin lebih baik daripada varnis fluorida sahaja.

Lima kajian melaporkan tiada kesan sampingan berkaitan penggunaan sealan atau varnis fluorida. Kajian-kajian lain tidak menyebutkan sama ada berlaku kesan sampingan atau tidak.

Apa maksud keputusan ini?

Pada masa ini, kami tidak tahu sama ada lebih baik mengaplikasi sealan atau varnis fluorida untuk mencegah kerosakan pada gigi belakang kanak-kanak. Kami tahu kedua-dua intervensi ini berkesan untuk mengurangkan kerosakan gigi, dan bukti semasa tidak menunjukkan satu kaedah adalah lebih baik dari yang lain.

Empat belas kajian sedang berlangsung. Penemuan kajian-kajian tersebut mungkin memperbaiki bukti dalam ulasan versi masa depan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiuc.edu.my

Tools
Information