Probiotik untuk merawat cirit-birit berjangkit akut

Episod cirit-birit berjangkit akut tetap menjadi beban penyakit utama di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara membangun. Cirit-birit ini adalah disebabkan oleh jangkitan organisma-organisma yang berbeza. Kebanyakkan pesakit akan sembuh tanpa rawatan ubat, dan biasanya ujian tidak dilakukan untuk mengenalpasti organisma penyebab. Risiko utama kepada kesihatan adalah dehidrasi dan matlamat rawatan adalah untuk mengekalkan status penghidratan. Akan tetapi, larutan rehidrasi oral tidak mengurangkan jumlah najis ataupun memendekkan tempoh cirit-birit. Probiotik adalah bakteria "mesra" yang tidak berbahaya dan boleh menambahbaikkan kesihatan. Sebilangan kajian rawak terkawal telah dilakukan untuk melihat sama ada probiotik adalah bermanfaat dalam cirit-birit berjangkit akut. Kami telah mencari kajian-kajian ini seberapa banyak yang mungkin dan telah mengumpulkan data tersebut dalam cara yang sistematik untuk mengenalpasti sama ada probiotik adalah bermanfaat dalam cirit-birit akut ataupun tidak. Kami telah mengenalpasti 63 kajian dengan sejumlah 8014 orang - kebanyakkannya bayi dan kanak-kanak. Probiotik tidak dikaitkan dengan mana-mana kesan buruk. Hampir kesemua kajian melaporkan tempoh cirit yang dipendekkan dan jumlah najis yang dikurangkan dalam orang yang mengambil probiotik berbanding dengan mereka yang tidak menerima probiotik. Secara keseluruhannya, probiotik mengurangkan tempoh cirit-birit sebanyak kira-kira 25 jam, mengurangkan risiko cirit-birit berlanjutan selama empat hari atau lebih sebanyak 59%. Selain itu, kekerapan cirit dikurangkan lebih kurang sekali pada hari kedua selepas menerima probiotik. Walau bagaimanapun, terdapat kepelbagaian yang sangat ketara dalam penemuan kajian, oleh itu anggaran ini berkemungkinan kurang tepat. Kami membuat kesimpulan bahawa keputusan ini sangat menggalakkan tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti dengan tepat probiotik jenis mana yang sesuai digunakan untuk kumpulan orang yang mana, dan juga untuk menilai keberkesanan kos rawatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch'ng Chin Chin (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Pulau Pinang). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi chngchinchin@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save