Patutkah makrolid diguna untuk asma kronik?

Tajuk utama:Banyak kajian tidak menunjukkan makrolid adalah lebih baik dari plasebo untuk semua hasil. Mungkin terdapat manfaat pada skala gejala dan fungsi paru-paru, namun ia bergantung kepada cara pengukuran dilakukan. Bukti adalah berkualiti rendah, oleh itu kami tidak dapat menentukan kemungkinan manfaat atau keburukannya.

Latarbelakang

Asma adalah penyakit kronik yang mana keradangan laluan udara menyebabkan batuk, berbunyi ketika bernafas dan masalah pernafasan. Mungkin ada beberapa sebab untuk keradangannya dan mengapa ia berterusan, dan ini mungkin memerlukan pelbagai rawatan. Jangkitan paru-paru mungkin adalah satu penyebab, dan makrolid adalah sejenis antibiotik yang boleh diguna untuk jangkamasa panjang bagi membantu mengurangkan gejala dikalangan mereka.

Bagaimana kami menjawab soalan tersebut

Kami mencari kajian dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak penghidap asma yang diberi makrolid atau plasebo untuk sekurang-kurangnya 4 minggu untuk melihat sama ada ia membantu meredakan gejala dan mengurangkan kejadian serangan asma, yang disebut keterukan melampau. Kami menjalankan carian terkini kajian-kajian dalam pada April 2015. Selepas mendapatkan semua kajian yang bersesuaian, kami memilih maklumat tentang serangan asma yang memerlukan kemasukan hospital, serangan asma yang memerlukan rawatan dengan steroid oral, skala gejala, kawalan asma, kualiti hidup, beberapa ukuran fungsi paru-paru, keperluan ubat sedut bantuan, kesan sampingan serius dan ukuran aktiviti asma dalam darah dan kahak.

Apa yang kami dapati

Kami mendapati 23 kajian termasuk 16 kajian baru yang diterbitkan semenjak pencarian terakhir dibuat pada 2007. Secara keseluruhan, 1500 orang telah menerima makrolid atau plasebo. Terdapat banyak masalah dalam penjelasan kajian-kajian tersebut dan cara data dilaporkan, yang membuatkan kami menganggap bukti adalah berkualiti rendah dan mengganggu-gugat keyakinan kami bagi semua keputusan. Kajian-kajian agak berbeza di antara satu sama lain, misalnya keterukan asma, jenis makrolid yang diberi dan jangkamasa rawatan.

Ulasan kami tidak menunjukkan makrolid adalah lebih baik berbanding plasebo untuk semua hasil utama yang dinilai. Walau bagaimanapun, ia mungkin bermanfaat untuk skala gejala dan fungsi paru-paru, namun kami tidak dapat menentukan kemungkinan ia dapat membantu atau menyebabkan mudarat untuk sesetengah orang. Tiada laporan tentang kesan sampingan serius makrolid tetapi 16 kajian tidak menyatakan sama ada ia terjadi atau tidak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail, (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save