Steroid sedutan untuk penyakit paru-paru obstruktif kronik yang stabil

Ubat-ubatan pencegah steroid secara sedutan ( 'steroid sedutan') membantu mengurangkan keradangan saluran udara orang-orang dengan asma. Namun, adalah tidak pasti sama ada ubat-ubatan ini bermanfaat bagi orang-orang dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD, iaitu bronkitis kronik atau emfisema atau kedua-duanya).

Kami menjalankan ulasan sistematik manfaat dan keselamatan steroid sedutan untuk orang-orang dengan COPD. Ulasan kami menganalisis kesan ke atas keupayaan pernafasan, kadar kematian, kekerapan keradangan ( 'eksaserbasi'), kualiti hidup dan kesan sampingan.

Pengumpulan data dari 55 kajian dengan 16,154 orang menunjukkan tiada manfaat jangka panjang yang konsisten dalam kadar penurunan keupayaan pernafasan. Kadar kematian tidak berubah. Steroid sedutan adalah bermanfaat dalam memperlahankan kadar penurunan kualiti hidup dan mengurangkan kekerapan eksaserbasi. Steroid sedutan meningkatkan risiko kesan sampingan termasuk jangkitan seriawan (candida) dalam mulut dan serak, dan kadar pneumonia.

Dalam memutuskan sama ada untuk menggunakan rawatan ini, pengguna dan profesional kesihatan perlu menimbang manfaat (pengurangan kadar eksaserbasi, pengurangan penurunan kualiti hidup dan pengurangan dalam kadar penurunan kapasiti pernafasan) terhadap kesan-kesan sampingan (mulut seriawan, serak dan peningkatan risiko mendapat pneumonia).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save