Intervensi penggera bagi enuresis waktu malam (kencing malam tanpa sengaja) dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Adakah latihan penggera merupakan rawatan yang berkesan untuk masalah kencing malam dalam kalangan kanak-kanak?

Latar belakang

Kencing malam adalah perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak dan melibatkan kira-kira 20% kanak-kanak yang berusia lima tahun. Walaupun kanak-kanak dapat pulih secara spontan daripada perkara ini, kencing malam boleh memberi kesan sosial, emosi dan psikologi yang signifikan kepada kanak-kanak dan keluarganya. Rawatan untuk masalah kencing malam merangkumi penggera (diaktifkan dengan proses kencing), mengubah tingkah laku dan ubat-ubatan.

Setakat manakah ulasan ini dikemaskini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 25 Jun 2018.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini merangkumi 74 kajian yang melibatkan 5983 kanak-kanak.

Sumber dana kajian

Tiga kajian yang disertakan dalam ulasan ini dibiayai atau disokong oleh syarikat farmaseutikal.

Dapatan utama

Penggera mungkin lebih baik daripada tanpa rawatan dari segi mengurangkan jumlah kencing malam dalam seminggu dan peningkatan jumlah kanak-kanak yang mencapai 14 hari tanpa kencing malam. Penggera mungkin meningkatkan jumlah bilangan kanak-kanak tanpa kencing malam selepas berhenti daripada rawatan berbanding tanpa rawatan.

Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara penggera dan intervensi tingkah laku (sebagai contoh latihan pundi kencing), atau antara penggera dan ubat-ubatan desmopressin dalam mengurangkan jumlah bilangan kencing malam dalam seminggu, peningkatan jumlah bilangan kanak-kanak yang berjaya mencapai 14 hari berturutan tanpa kencing malam serta peningkatan jumlah bilangan kanak-kanak yang tidak kencing malam selepas berhenti menerima rawatan.

Kami tidak pasti sama ada penggera mengurangkan bilangan kencing malam yang lebih banyak daripada penggunaan ubat plasebo, jenis penggera yang lain, ubat tricyclics, atau pelbagai rawatan seperti hipnoterapi atau diet yang ketat.

Penggera berserta desmopressin mungkin boleh mengurangkan jumlah kencing malam dalam seminggu berbanding dengan desmopressin sahaja. Ia mungkin meningkatkan jumlah bilangan kanak-kanak mencapai 14 hari berturutan tanpa kencing malam dan meningkatkan bilangan kanak-kanak kekal tanpa kencing malam selepas berhenti menerima rawatan. Penggera ditambah latihan tilam kering mungkin meningkatkan bilangan kanak-kanak yang mencapai 14 hari berturutan tanpa kencing malam berbanding dengan latihan tilam kering sahaja, tetapi kami tidak pasti adakah respon ini kekal selepas berhenti menerima rawatan.

Oleh kerana kualiti bukti yang rendah, kami tidak pasti mengenai sebarang perbezaan dalam keberkesanan antara penggera berserta latihan pundi kencing berbanding dengan latihan pundi kencing sahaja.

Terapi penggera mungkin mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mengalami kesan buruk berbanding dengan desmopressin. Kami fikir mungkin terdapat sedikit peningkatan dalam kesan buruk antara penggera berkod perkataan dengan penggera piawai tetapi sehingga terdapat lebih banyak bukti daripada lebih ramai kanak-kanak, kami tidak boleh memastikan perkara ini. Kami tidak pasti mengenai keselamatan terapi penggera berbanding dengan rawatan lain, kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bermaksud bahawa, secara umum, tahap kepastian dalam kesimpulan kami adalah rendah.

Kesimpulan penulis

Terapi penggera mungkin lebih berkesan daripada tiada rawatan, tetapi disebabkan oleh bukti berkualiti rendah kami tidak tahu sejauh mana terapi penggera lebih berkesan berbanding dengan tidak ada sama sekali. Menambah terapi penggera ke desmopressin mungkin lebih berkesan daripada desmopressin sahaja. Walaupun terdapat banyak kajian yang telah kami kenal pasti, kepastian bukti yang rendah menunjukkan bahawa kami tidak dapat mengetahui dari kajian-kajian ini sama ada terapi penggera adalah lebih baik daripada terapi lain untuk mengurangkan kencing malam dalam kanak-kanak. Kami tidak dapat memastikan kesannya sehingga ada kajian-kajian lain yang direka bentuk dengan lebih baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Medical College, Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkenaan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information