Mencegah tekanan pekerjaan dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latar belakang

Pekerja penjagaan kesihatan mengalami tekanan berkaitan kerja atau bekerja. Kerapkali ini berlaku kerana pekerja penjagaan kesihatan menghadapi harapan yang tinggi dan mereka mungkin tidak mempunyai masa, kemahiran dan sokongan sosial yang cukup sewaktu bekerja Ini akan menyebab distres teruk, 'burnout' atau penyakit fizikal. Akhirnya, pekerja penjagaan kesihatan tidak akan dapat memberil perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi. Tekanan dan 'burnout' juga menelan kos yang mahal kerana pekerja penjagaan kesihatan yang terlibat mengambil cuti sakit dan mungkin menukar pekerjaan.

Kami menilai pelbagai cara yang berbeza untuk mencegah tekanan atau 'burnout' kerja dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 58 kajian yang melibatkan 7188 peserta. Lima puluh empat dari kajian ini adalah kajian rawak terkawal dan empat yang lain adalah kajian bukan rawak. Intervensi dikategorikan sama ada sebagai latihan kognitif tingkah laku, relaksasi mental dan fizikal, atau perubahan organisasi.

Penemuan utama dan kualiti bukti

Intervensi kognitif tingkah laku

Menurut enam kajian, terdapat bukti berkualiti rendah bahawa latihan kognitif tingkah laku menurunkan tekanan kira-kira 13% berbanding dengan tiada intervensi apabila diukur pada tempoh susulan dalam julat kurang daripada satu bulan hingga dua tahun. Adalah tidak jelas bagaimana pengurangan ini relevan untuk orang yang mengalami tekanan. Keputusan yang sama dilihat apabila latihan kognitif tingkah laku digabungkan dengan relaksasi. Walau bagaimanapun, dalam 3 kajian, tahap tekanan adalah sama selepas kursus latihan kognitif tingkah laku berbanding dengan latihan lain yang tidak memberi tumpuan kepada pengurusan tekanan tetapi terhadap kandungan penjagaan.

Intervensi relaksasi mental dan fizikal

Dalam 17 kajian terdapat bukti yang berkualiti rendah hingga sederhana bahawa relaksasi mental dan fizikal membawa kepada pengurangan sebanyak 23% tahap tekanan berbanding dengan tiada intervensi.

Intervensi organisasi

Intervensi organisasi bertujuan mengubah suasana kerja dalam 20 kajian, menambah baik sokongan atau mentor dalam enam kajian, mengubah kandungan penjagaan dalam empat kajian, menambah baik kemahiran komunikasi dalam satu kajian dan menambah baik jadual kerja dalam dua kajian. Jadual kerja yang lebih pendek atau terganggu dapat mengurangkan tahap tekanan dalam dua kajian, namun tiada manfaat yang jelas untuk intervensi organisasi yang lain.

Kesimpulan

Kami menyimpulkan bahawa latihan kognitif tingkah laku serta relaksasi mental dan fizikal dapat mengurangkan tekanan secara sederhana. Mengubah jadual kerja juga boleh mengurangkan tekanan, tetapi intervensi organisasi lain tidak mempunyai kesan yang jelas. Kami memerlukan kajian-kajian rawak dengan sekurang-kurangnya 120 peserta dan sebaik-baiknya hanya satu komponen intervensi. Intervensi organisasi perlu lebih fokus kepada menangani faktor-faktor tertentu yang menyebabkan tekanan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.