Ventilasi tidak invasif (ventilator) digunakan pada waktu malam oleh orang dengan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD)

Latar belakang: Ventilasi tidak invasif (NIV) adalah kaedah untuk membantu atau mengganti pernafasan spontan (atau pernafasan normal) dengan bantuan mesin yang disebut ventilator, menggunakan topeng yang dipasang di atas hidung atau kedua-dua hidung dan mulut. NIV boleh digunakan secara kronik (jangka panjang) di rumah orang tersebut sekiranya mereka mempunyai tahap karbon dioksida dalam darah mereka yang sentiasa terlalu tinggi. Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan NIV kronik di rumah pada waktu malam di samping terapi piawai adalah lebih baik atau lebih buruk daripada terapi piawai sahaja pada orang dengan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) yang telah meningkatkan tahap karbon dioksida. Pada tahun 2002 dan 2013, kami telah menerbitkan Ulasan Cochrane yang asal bagi menyiasat perkara ini. Adalah penting untuk memeriksa apakah kajian baru telah lakukan yang dapat ditambahkan ke kajian yang ada dari ulasan asal dan akan mengubah penemuannya.

Apakah data peserta individu: Dalam ulasan ini kami menggunakan data peserta individu (IPD). Ini bermaksud bahawa kami berusaha mengumpulkan data penyelidikan asal untuk setiap orang yang telah mengambil bahagian dalam kajian asal dengan meminta data individu ini daripada penyelidik yang melakukan kajian tersebut. Kami menggunakan IPD kerana ini menawarkan peluang lebih besar untuk mengesan perubahan antara kumpulan peserta dan membolehkan penyiasatan hipotesis tambahan. Kami menggunakan IPD untuk melakukan pengiraan kami.

Soalan ulasan: Apakah kesan NIV kronik pada orang dengan COPD pada gas darah (oksigen dan karbon dioksida), keupayaan bersenam, kualiti hidup, fungsi paru-paru, fungsi otot pernafasan, eksaserbasi dan kemasukan ke hospital disebabkan COPD, dan kelangsungan hidup?

Ciri-ciri kajian: Bukti adalah terkini hingga 21 Disember 2020. Kemas kini ulasan ini mengenal pasti 14 kajian baru sebagai tambahan kepada kajian yang telah ada dalam ulasan, jadi secara keseluruhan kami memasukkan 21 kajian. Sepuluh kajian melihat pada orang dalam fasa stabil (COPD stabil) dan empat kajian melihat pada orang tidak lama selepas kemasukan ke hospital disebabkan COPD (COPD pasca-eksaserbasi). Semua kajian melibatkan lelaki dan wanita. Untuk analisis, kami menggunakan data dari 778 orang dengan COPD stabil dan 364 orang dengan COPD pasca-eksaserbasi.

Keputusan: Pada semua orang dengan COPD yang telah meningkat tahap karbon dioksida, NIV kronik selama tiga dan 12 bulan memperbaiki gas darah. Dalam COPD stabil, NIV kronik juga mungkin memperbaiki kualiti hidup, dan kelangsungan hidup nampaknya lebih baik berbanding dengan orang yang hanya dirawat dengan penjagaan piawai. Tidak ada faedah yang relevan dari NIV pada kapasiti bersenam. Orang yang menggunakan NIV kronik selepas kemasukan ke hospital disebabkan COPD mengalami kurang faedah; tahap karbon dioksida menurun, waktu untuk masuk ke hospital berikutnya mungkin lebih lama ketika dirawat dengan NIV tetapi kualiti hidup dan kelangsungan hidup tidak dipengaruhi oleh NIV kronik.

Kepastian bukti: Keyakinan kami terhadap kepastian (mengikut kriteria GRADE) adalah baik apabila melihat pada gas darah. Untuk hasil yang lain, kepastian bukti adalah sederhana hingga sangat rendah kerana peserta dan penyelidik menyedari rawatan yang diterima oleh pesakit, dan disebabkan oleh julat yang besar dalam kesan yang diperhatikan. Ini bermaksud bahawa penyelidikan lebih lanjut mungkin mengubah keputusannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Amirah Mohd Shukor. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information