Langkau ke kandungan utama

Terapi pertuturan dan bahasa untuk masalah pertuturan dalam penyakit Parkinson

Ramai orang dengan penyakit Parkinson mengalami gangguan pertuturan. Masalah pertuturan yang paling kerap dilaporkan ialah suara yang lemah, serak, sengau atau senada, artikulasi tidak tepat, pertuturan perlahan atau cepat, kesukaran memulakan pertuturan, tekanan atau irama terjejas, gagap dan bergetar. Orang dengan keadaan ini juga cenderung untuk memberikan isyarat bukan lisan yang sedikit, seperti mimik muka dan gerak isyarat tangan. Ketidakupayaan ini cenderung untuk meningkat apabila penyakit itu berlanjutan dan boleh membawa kepada masalah komunikasi yang serius.

Ulasan ini membandingkan faedah terapi pertuturan dan bahasa berbanding plasebo (terapi palsu) atau tiada rawatan untuk gangguan pertuturan dalam penyakit Parkinson. Kajian yang berkaitan telah dikenal pasti melalui carian elektronik dari 16 pangkalan data literatur perubatan, pelbagai daftar kajian klinikal serta pemeriksaan senarai rujukan daripada kajian yang dikenal pasti dan ulasan yang lain.

Hanya kajian rawak terkawal yang telah disertakan dalam ulasan ini. Ini adalah kajian dimana dua kumpulan pesakit dibandingkan, satu kumpulan dengan terapi pertuturan dan bahasa, yang lain tidak menerima sebarang terapi yang bertujuan untuk memperbaiki pertuturan. Peserta-peserta telah diagihkan kepada setiap kumpulan secara rawak untuk mengurangkan potensi bias.

Tiga kajian dengan sejumlah 63 pesakit telah didapati membandingkan terapi pertuturan dan bahasa dengan kumpulan yang tidak dirawat. Kualiti kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah berubah-ubah, dengan semua kajian gagal dalam sekurang-kurangnya satu bidang kritikal. Ketiga-tiga kajian terkawal melaporkan kesan positif terapi pertuturan dan bahasa untuk gangguan pertuturan dalam penyakit Parkinson. Banyak hasil yang diperiksa kelihatan bertambah baik dengan jumlah yang signifikan secara klinikal selepas terapi. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa terdapat kelemahan-kelemahan dalam kaedah yang digunakan dalam kajian ini dan hanya sebilangan kecil pesakit dengan penyakit Parkinson telah diperiksa. Ini bermakna tiada bukti yang mencukupi untuk benar-benar membuktikan atau menafikan manfaat terapi pertuturan dan bahasa untuk rawatan gangguan pertuturan dalam pesakit Parkinson, tetapi kekurangan bukti tidak bermakna kekurangan kesan.

Satu kajian rawak terkawal dengan plasebo yang besar dan direka dengan baik diperlukan untuk menilai keberkesanan terapi pertuturan dan bahasa untuk gangguan pertuturan dalam penyakit Parkinson. Hasil yang mempunyai kaitan khusus kepada orang dengan penyakit Parkinson harus dipilih dan pesakit haruslah diikuti sekurang-kurangnya selama enam bulan untuk menentukan tempoh sebarang peningkatan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Petikan
Herd CP, Tomlinson CL, Deane KHO, Brady MC, Smith CH, Sackley CM, Clarke CE. Speech and language therapy versus placebo or no intervention for speech problems in Parkinson's disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 11. Art. No.: CD002812. DOI: 10.1002/14651858.CD002812.pub2.