Pembedahan berbanding trombolisis untuk pengurusan awal iskemia kaki akut

Latar belakang

Trombolisis melibatkan pencairan darah beku melalui suntikan agen kimia pada kawasan darah beku. Ia boleh digunakan sebagai alternatif kepada pembedahan untuk menguruskan aliran darah yang mengurang dengan teruk secara tiba-tiba (iskemia akut) di dalam kaki. Darah beku (trombosis) boleh terbentuk di dalam salur darah kaki yang menunjukkan penyempitan yang teruk (stenosis) di dalam arteri semula jadi atau graf pintasan, atau ia boleh bergerak ke dalam arteri-arteri kaki setelah terbentuk di tempat lain,di mana ia dipanggil sebagai embolus. Komplikasi-komplikasi utama trombolisis adalah pendarahan dan angin ahmar.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Penulis-penulis ulasan telah mengenal pasti lima kajian terkawal dengan sejumlah 1292 peserta yang memerlukan penjagaan segera untuk pengurangan aliran darah di dalam kaki (terkini sehingga 7 Mei 2018). Peserta-peserta telah dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua kumpulan untuk rawatan awal: (1) trombolisis tanpa pembedahan, atau (2) pembedahan. Agen-agen khusus yang digunakan untuk memecahkan darah buku (agen trombolitik) dipanggil pengaktif tisu plasminogen rekombinan dan urokinase. Kajian yang dimasukkan menunjukkan tiada bukti jelas tentang rawatan yang mana - trombolisis atau pembedahan - merupakan pilihan yang lebih baik untuk mengelakkan amputasi kaki (penyelamatan kaki) dan tiada bukti jelas mengenai rawatan mana yang lebih baik untuk mengelakkan kematian atau memperbaiki kadar amputasi dalam jangka masa sebulan, enam bulan, atau setahun selepas rawatan awal. Bukti untuk ketiga-tiga hasil ini pada bulan pertama dinilaikan sebagai berkualiti antara rendah dan sangat rendah. Tiada kesimpulan boleh dibuat mengenai rawatan yang mana yang lebih baik untuk mengekalkan salur darah yang tidak tersumbat selepas rawatan (patensi salur darah) kerana hasil ini tidak dilaporkan sebaiknya. Lebih banyak komplikasi utama, termasuk pendarahan (pendarahan) dan iskemia berterusan atau penyumbatan (embolisasi jauh), dilaporkan dalam kumpulan yang menerima trombolisis. Tiada perbezaan dalam kejadian angin ahmar pada bulan pertama antara kedua-dua kumpulan rawatan. Walaupun orang yang menerima trombolisis awal mengalami peningkatan risiko beberapa komplikasi, mereka menunjukkan pengurangan ketara dalam tahap intervensi yang diperlukan berbanding apa yang diramalkan sebelum intervensi. Risiko komplikasi yang lebih tinggi dengan trombolisis perlu ditimbangkan terhadap risiko individu dalam pembedahan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti secara amnya adalah rendah. Kami menurunkan kualiti kerana risiko bias. Bias adalah satu cara untuk menerangkan bagaimana penyelidik, pengamal perubatan, atau peserta berkemungkinan mempengaruhi keputusan secara tidak sengaja. ‘Blinding’ adalah satu kaedah yang digunakan untuk mengelakkan orang yang terlibat dalam kajian daripada mengetahui kumpulan rawatan yang manakah seseorang peserta berada bagi mengurangkan bias pengukuran. Tiada kajian yang disertakan dalam ulasan ini yang menggunakan kaedah-kaedah untuk menghalang peserta atau penyelidik atau penilai hasil daripada mengetahui rawatan apa yang diberikan kepada mereka. Malah, terdapat ketidakpastian mengenai kesan sebenar bagi setiap jenis rawatan. Keputusan menunjukkan perbezaan yang besar dalam ukuran hasil (kesan) antara kajian (heterogeniti). Contohnya, selepas rawatan pembedahan, jumlah mortaliti satu tahun berkisar antara 9.8% hingga 42%. Julat peratusan yang besar ini mungkin menunjukkan bahawa kajian-kajian yang dibandingkan agak berbeza. Tambahan pula, kriteria pemilihan (tempoh rawatan dan keterukan iskemia) dan kaedah trombolisis (agen, dos, dan tempoh) mempunyai variasi antara kajian, menjadikan perbandingan lebih sukar.

Kesimpulan

Ulasan ini menjumpai tiada bukti adanya perbezaan antara trombolisis dan pembedahan untuk rawatan iskemia kaki akut bagi hasil yang kami berminat. Mereka yang menerima rawatan trombolisis berkemungkinan mempunyai risiko komplikasi seperti pendarahan yang lebih tinggi. Kualiti data yang dijana oleh kajian-kajian yang disertakan adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information