Kandungan trigliserida rantaian sederhana tinggi berbanding rendah formula untuk menggalakkan pertumbuhan jangka pendek bayi pramatang

Soalan ulasan

Bagaimanakah kandungan trigliserida rantaian sederhana tinggi berbanding rendah pada formula memberi kesan pertumbuhan jangka pendek bayi pramatang?

Latar belakang

Trigliserida adalah konstituen utama lemak badan manusia. Lemak membekalkan kira-kira separuh daripada sumber tenaga (kalori) dalam susu ibu manusia, kebanyakannya sebagai trigliserida asid lemak rantai panjang (LCT). Pemakanan adalah penting untuk pertumbuhan, metabolisme, dan imuniti.

Pertambahan berat badan dan pertumbuhan yang terjejas dalam bayi pramatang adalah sangat berkaitan dengan hasil buruk perkembangan saraf. Pemakanan yang lemah dikaitkan dengan pertumbuhan kepala yang tidak mencukupi dan dengan itu kemahiran psikomotor dan mental yang lemah, kadar cerebral palsy yang lebih tinggi, dan autisme.

Sebagai cara untuk meningkatkan tumbesaran, lemak boleh ditambah kepada formula yang digunakan untuk memberi makan bayi pramatang yang tidak boleh diberi susu ibu atau penderma atau yang mungkin memerlukan suplemen. Lemak dalam formula boleh mengandungi trigliserida dengan asid lemak rantai panjang atau asid lemak rantai sederhana (MCT) yang lebih pendek. MCT lebih mudah diserap oleh bayi yang baru lahir dengan sistem penghadaman yang belum matang. LCT masih penting untuk perkembangan ketajaman penglihatan dan perkembangan membran sel dan otak.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 10 kajian kecil yang membandingkan kesan penyusuan formula MCT tinggi berbanding rendah (sekurang-kurangnya 5 hari) pada pertumbuhan jangka pendek (berat, panjang, dan peningkatan lilitan kepala) bayi pramatang. Bayi ini mempunyai purata umur kehamilan antara 29 dan 32 minggu, purata berat lahir antara 1 kg dan 1.5 kg, dan purata umur satu hingga enam minggu. Bukti adalah terkini sehingga September 2020.

Keputusan utama

Corak pertumbuhan pada bayi yang diberi formula MCT tinggi berbanding MCT rendah menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan dalam mana-mana hasil utama pertumbuhan jangka pendek.

Kepastian bukti

Kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam hasil pertumbuhan jangka pendek dalam kalangan bayi pramatang sama ada diberi formula MCT rendah atau tinggi. Bilangan kajian yang sedikit (10), setiap satu mengandungi sedikit populasi kajian, mungkin bertanggungjawab bagi kekurangan bukti perbezaan. Kami menemui bukti berkepastian sangat rendah hingga rendah. Kepastian ditakrifkan sebagai rendah jika keyakinan terhadap keputusan adalah terhad, bermakna kesan sebenar pengukuhan individu pada pertumbuhan bayi pramatang mungkin berbeza dengan ketara daripada keputusan ulasan ini. Kepastian ditakrifkan sebagai sangat rendah jika terdapat sedikit keyakinan dalam anggaran kesan, yang berkemungkinan besar berbeza daripada keputusan ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information